TANGKAP layar video TikTok T Vijay menyanyikan lagu Intifada nyanyian asal kumpulan Rabbani.
TANGKAP layar video TikTok T Vijay menyanyikan lagu Intifada nyanyian asal kumpulan Rabbani.
Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Meskipun bukan beragama Islam, T. Vijay cenderung mendengar lagu nasyid yang menyampaikan mesej mengenai ketuhanan dan kerohanian.

Bukan setakat itu, dia juga menghafal lagu nasyid dan kebolehannya menyanyi turut mendapat perhatian netizen.

Ia selepas Vijay, 30, yang menetap di Damansara Damai, di sini memuat naik videonya menyanyi lagu Intifada nyanyian asal kumpulan Rabbani dan Rasulullah dendangan Hijjaz di TikTok, baru-baru ini.

Berkongsi kisahnya, Vijay yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Manusia lulusan Open Universiti Malaysia (OUM) berkata, dia memang banyak mendengar lagu Melayu termasuk nasyid kerana tertarik dengan muziknya.

Jadi, Vijay mengakui sudah sebati dengan genre berkenaan malah turut menghafal sebahagian lagu yang biasa didengar.

"Saya ramai kawan Melayu jadi terdedah juga dengan banyak perkara termasuk lagu Melayu.

"Lagu pertama yang saya dengar adalah Pergi Tak Kembali nyanyian kumpulan Rabbani dan mulanya tak tahu pun lagu itu berkaitan dengan kematian.

"Saya ingatkan lagu itu mengenai perpisahan jadi layan saja kerana sukakan muziknya sebelum tahu mesej tersirat di sebaliknya (lagu)," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berhubung perkongsiannya di TikTok yang mendapat perhatian ramai, Vijay tidak menyangka video dimuat naiknya itu akan tular.

"Saya muat naik video nyanyian lagu Intifada pada Isnin diikuti Rasulullah semalam dan rakan yang bantu sebelum muat naik di TikTok. Itu pun untuk suka-suka saja.

"Tak sangka pula ramai yang menonton hingga video itu tular dan meraih tontonan tinggi.

"Setakat ini, banyak komen yang positif malah ada yang minta saya rakam video nyanyian lagu nasyid lain," katanya.

Selain itu, Vijay mengakui ada dalam kalangan netizen yang mengesyorkannya untuk memeluk Islam.

"Itu (minta peluk Islam) bukan perkara baru kerana sejak menuntut di kolej lagi sudah yang cuba pujuk saya.

"Tapi buat masa ini, saya selesa menganut agama asal kerana nampak ia bukan halangan untuk terus berkawan dengan rakan Melayu atau mereka yang dari berlainan agama dan bangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 8:33 PM