Redzuan Muharam

Rawang: Istimewanya Muhammad Faiz Arbain kerana kemerduan suaranya namun yang menjadikan pemuda mesra disapa Pijin itu unik adalah kebolehannya meniru stail dan teknik nyanyian penyanyi popular.

Video nyanyian itu dikongsikan Pijin di TikTok miliknya, Helmet Singer, baru-baru ini, dan menarik perhatian ramai dengan rata-ratanya kagum dengan bakatnya.

Pijin yang menetap di Bukit Sentosa, di sini, berkata, video nyanyian itu dikongsikan sekadar suka-suka sahaja dan dia tidak menyangka ia akan mendapat maklum balas luar biasa hingga meraih jutaan tontonan.

"Video nyanyian pertama saya yang meraih tontonan tinggi adalah ketika meniru teknik nyanyian penyanyi Indonesia, Fabio Asher.

"Seingat saya, video itu dirakam ketika dalam perjalanan pulang selepas membeli makan malam di atas motosikal yang diberhentikan di tepi jalan dengan memakai topi keledar.

"Saya mulanya kongsikan video itu di status WhatsApp dan kemudian TikTok. Apa yang membuatkan saya terkejut apabila bangun tidur keesokan harinya dan menerima banyak notifikasi komen serta tanda suka (like) pada video berkenaan," katanya ketika dihubungi, semalam.

KOMEN positif daripada Anuar Zain pada video dimuat naik Pijin di TikTok. FOTO Ihsan Muhammad Faiz Arbain
KOMEN positif daripada Anuar Zain pada video dimuat naik Pijin di TikTok. FOTO Ihsan Muhammad Faiz Arbain

Melihat penerimaan baik itu, Pijin memuat lagi videonya meniru nyanyian beberapa penyanyi lain seperti Anuar Zain, Afgan dan Rizky Febian dengan cara sama iaitu di atas motosikal dan memakai topi keledar.

Percubaannya itu mendapat perhatian lagi apabila lebih ramai yang sukakannya dan memberi reaksi positif di ruangan komen.

"Alhamdulillah, ramai suka dan ada juga minta saya nyanyikan lagu lain.

"Kecaman juga ada namun kira-kira hanya lima peratus kerana majoriti lebih sukakannya.

"Paling membuatkan saya terharu apabila penyanyi asal antaranya Rizky Febian dan Anuar Zain memberi komen positif pada video saya menyanyikan lagu mereka dan tak sangka mereka nampak video saya," katanya yang turut mendapat perhatian dalam kalangan pengguna TikTok di Indonesia.

Bercerita lanjut, Pijin berkata, dia minat menyanyi sejak berusia 10 tahun bermula dengan menyertai kumpulan nasyid di sekolah agama.

PIJIN minat menyanyi sejak berumur 10 tahun. FOTO Ihsan Muhammad Faiz Arbain
PIJIN minat menyanyi sejak berumur 10 tahun. FOTO Ihsan Muhammad Faiz Arbain

"Sejak tahun empat hingga tingkatan lima, saya aktif menyanyi tetapi lagu nasyid sahaja.

"Tamat persekolahan, minat saya beralih kepada menyanyikan lagu genre balada pula.

"Selain Anuar Zain, Rizky Febian dan Fabio Asher, saya suka juga lagu Imran Ajmain, Kaer Azami dan Lah Ahmad namun mengidolakan Hael Husaini sejak beralih ke genre balada," katanya yang juga penuntut tahun empat di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Perak.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu berkata, perancangannya kini adalah menamatkan pengajian dalam bidang perguruan yang berbaki setahun lagi.

"Pada masa sama, saya mahu terus aktif berkongsi video di TikTok dan menyanyi kerana itu hobi sejak dahulu lagi.

"Impian lain adalah untuk menjadi penyanyi dan mempunyai lagu sendiri jika ada rezeki," katanya yang pernah menjuarai tiga pertandingan nyanyian dianjurkan secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 4:49 PM
PIJIN menarik perhatian netizen kerana kebolehannya meniru stail dan teknik nyanyian penyanyi popular. FOTO Ihsan Muhammad Faiz Arbain
PIJIN menarik perhatian netizen kerana kebolehannya meniru stail dan teknik nyanyian penyanyi popular. FOTO Ihsan Muhammad Faiz Arbain