TAN Sri Azam Baki. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TAN Sri Azam Baki. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Pandangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi surat tular berhubung isu salah laku mengikut Kod Etika Hakim 2009 dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak, tidak lagi relevan dan diatasi oleh keputusan Mahkamah Persekutuan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata permohonan bekas Perdana Menteri itu antara lain untuk mengemukakan keterangan baharu bagi membuktikan wujudnya elemen konflik kepentingan Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mengendalikan perbicaraan terbabit.

Katanya, Mahkamah Persekutuan sudah memutuskan tiada konflik kepentingan pada pihak hakim berkenaan.

"SPRM hanya bertanggungjawab bagi kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihaknya saja dan penyebaran surat itu dalam domain awam adalah bukan suatu penyebaran yang diberi kuasa oleh SPRM.

"Siasatan yang dijalankan oleh SPRM adalah di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan bukan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

"Berdasarkan hasil siasatan, SPRM dan Jabatan Peguam Negara mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh Mohd Nazlan di bawah akta berkenaan," katanya menerusi afidavit jawapan defendan difailkan Peguam Kanan Persekutuan di Mahkamah Tinggi, 23 Jun lalu.

Pada 12 April lalu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menerusi firma guaman, Tetuan Lim Wei Jiet, memfailkan saman terhadap SPRM yang dinamakan sebagai defendan berhubung penemuan agensi itu bahawa Mohd Nazlan melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Media melaporkan surat yang tular didakwa daripada Azam Baki kepada Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, bertarikh 20 Februari lalu, menyatakan bahawa siasatan SPRM menemui isu salah laku Mohd Nazlan yang perlu dipertimbangkan oleh ketua hakim.

Surat itu menyatakan kesalahan yang didakwa di bawah Kod Etika Hakim 2009 berlaku apabila Mohd Nazlan, yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dihadapi Najib.

Mohd Nazlan mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.

Azam berkata, saman difailkan oleh MUDA sebagai plaintif bersifat akademik atau tidak lagi relevan.

"Asas kepada tindakan ini (saman) adalah berkenaan surat SPRM berkaitan isu salah laku yang dikatakan dilakukan Mohd Nazlan di bawah Kod Etika Hakim 2009 ketika mengendalikan perbicaraan kes SRC International.

"Perkara berkenaan salah laku di bawah kod itu sudah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan yang mendapati tiada konflik kepentingan dilakukan Mohd Nazlan semasa mengendalikan kes.

"Saya juga dinasihatkan oleh Peguam Kanan Persekutuan bahawa plaintif tiada kapasiti untuk memulakan tindakan itu berdasarkan Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 6:26 PM