GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Bekas Presiden-Presiden Majlis Peguam menyelar serangan ke atas badan kehakiman dan hakim-hakim yang mendengar kes SRC International berikutan tular surat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di media sosial.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu menyuarakan sokongan terhadap pendirian Presiden Karen Cheah bahawa satu penghakiman bertentangan dalam semakan perbicaraan SRC International bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan alasan untuk semakan semula atau perbicaraan diadakan sekali lagi.

Katanya, intimidasi berterusan ke atas badan kehakiman oleh individu yang mempunyai kaitan dengan kes SRC membahayakan prinsip hukum negara terutamanya apabila 13 daripada 14 hakim yang menimbangkan kes kes SRC mengemukakan alasan munasabah dalam mengekalkan sabitan.

"Malah, isu konflik kepentingan membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sudah dibicarakan dan dihujahkan peguam Najib di hadapan dua panel Mahkamah Persekutuan berasingan (dalam rayuan utama terhadap sabitan dan seterusnya dalam permohonan semakan menurut kepada Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995).

"Dalam kedua-dua keadaan Mahkamah Persekutuan sudah mempertimbangkan perkara itu dan memutuskan bahawa tiada merit dalam dakwaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh 14 bekas Presiden Majlis Peguam antaranya Datuk S Ambiga, Tan Sri V C George, Datuk Param Cumaraswamy, Datuk Dr Cyrus Das, Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Yeo Yang Poh, Kuthubul Zaman Bukhari, Datuk Lim Chee Wee, Steven Thiru, Datuk George Varughese, Datuk Fareed Abdul Gafoor dan AG Kalidas.

Kumpulan itu turut menzahirkan kekesalan mereka terhadap tindakan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang dikatakan hanya berdiam diri terhadap isu yang diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan dan gagal menjelaskan secara terbuka dakwaan rasuah terhadap Mohd Nazlan, di mana Najib turut menarik balik dakwaan itu.

"Tambahan lagi, Peguam Negara sendiri adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang pastinya merasai kesan buruk dari sikap berdiam diri beliau terhadap Badan Kehakiman.

"Kes ini menimbulkan ugutan yang tidak boleh diterima terhadap hakim yang menjalankan tugas mereka untuk menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih. Mereka menghadapi gangguan berterusan, dan tertakluk kepada muslihat dan rancangan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan," katanya.

Tambahnya, surat "bocor" bertarikh 20 Februari 2023 yang mengandungi 'penemuan' atau 'pandangan' SPRM bahawa Mohd Nazlan melanggar Kod Etika Hakim adalah pelanggaran serius oleh SPRM terhadap kuasa dan bidang kuasanya di bawah Akta pentadbiran mereka.

Katanya, surat SPRM itu membabitkan isu yang bukan dalam bidang kuasa atau kepakaran SPRM.

"Adalah jelas bahawa SPRM tidak boleh membuat penemuan, keputusan atau memutuskan perkara yang berada di luar bidang kuasa mereka sebaiknya berada dalam bidang kuasa Badan Kehakiman.

"Adalah sesuatu yang luar biasa juga apabila seorang Menteri berasa wajar untuk menjawab dan memberikan maklumat kepada pihak litigan membabitkan surat SPRM kepada Ketua Hakim Negara. Perkara ini berbau gangguan," katanya.

Katanya, SPRM tidak mempunyai sebarang kuasa atau bidang kuasa untuk menyiasat, apatah lagi membuat penemuan atau dapatan bahawa terdapat konflik kepentingan dalam perkara membabitkan mahkamah dan pelanggaran etika kehakiman.

Pendirian SPRM melalui jawatankuasanya adalah mengelirukan isu dan juga orang ramai.

"Tambahan pula dan seperti yang dinyatakan sebelum ini, isu yang tepat ini sudah diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan dan sebarang rujukan terhadap perkara itu adalah tidak wajar sama sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 4:09 PM