RUANGAN lobi dihias dekorasi menarik menghasilkan visual yang cantik dan mewah di rumah pangsa kos rendah di Pandan Utama. FOTO BERNAMA
RUANGAN lobi dihias dekorasi menarik menghasilkan visual yang cantik dan mewah di rumah pangsa kos rendah di Pandan Utama. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hampir setiap hari tanpa jemu, Hussin Yahya, 67, berdiri di tepi tingkap rumahnya di tingkat dua perumahan pangsa kos rendah sambil melemparkan pandangan ke taman permainan di kawasan perumahan itu di Pandan Utama, Ampang, Selangor.

Mendiami rumah flat 12 tingkat sejak 2003, pesara kerajaan ini dapat melihat dengan jelas aktiviti riadah penduduk di situ sama ada kanak-kanak, golongan pertengahan umur ataupun warga emas dari tingkap rumahnya.

Ada yang asyik bermain badminton manakala di satu sudut lain pula ada yang sekadar duduk dan bersembang sementara menunggu anak mereka bermain.

Suasana harmoni dinikmati penduduk ketika ini membuatkan bapa lima orang anak ini lega kerana usaha mengubah mentaliti penghuni hampir 90 peratus daripada 600 penduduk dari penempatan setinggan di kawasan berdekatan sebelum ini semakin menampakkan kejayaan.

"Dulu tempat ini tidaklah seperti ini. Seperti mana masalah rumah flat lain, di sini berdepan isu sampah dibuang merata-rata dari tingkat atas, dinding penuh contengan budak nakal, berbau busuk, hancing, vandalisme dan sukar mendapat kerjasama penduduk.

"Malah, di sini juga lubuk segala masalah sosial, dadah serta pelbagai jenayah membuatkan penduduk hidup dalam ketakutan," katanya.

Hussin berkata, persekitaran perumahan berubah sejak Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) diwujudkan pada 2015.

Impaknya kian ketara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu apabila masing-masing rancak mencantikkan rumah dan kawasan sekitar.

"Bila perumahan bersih, penduduk mula rasa seronok dan bersemangat, malah banyak masalah jenayah dapat dikurangkan apabila kami berhubung erat dengan polis dan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Hussin yang juga pengerusi JMB perumahan itu berkata, ubah suai dilakukan menggunakan duit penduduk dan mereka yang sebelum ini tidak mahu turut serta juga berminat mengindahkan perumahan.

Menjejakkan kaki di penempatan itu, penulis akui memang cantik dan jauh berbeza dengan anggapan sebelum ini terhadap imej rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang sering dilabelkan dengan pelbagai isu kebersihan dan lubuk masalah sosial serta jenayah.

Malah, penulis berasakan seperti berada di kawasan perumahan elit dengan pelbagai dekorasi menarik seperti pemasangan kertas dinding, hiasan dinding jenis wainscoting, lantai berjubin, plaster siling serta tempat duduk di koridor lif.

UBAH suai dilakukan penduduk menggunakan dana sendiri. FOTO BERNAMA
UBAH suai dilakukan penduduk menggunakan dana sendiri. FOTO BERNAMA

Dalam mencantikkan kawasan perumahan ini, menurut Fazilah Jahalil, 58, tiada paksaan kepada penduduk untuk mengindahkan ruang tingkat di kediaman mereka, malah terpulang mengikut bajet masing-masing.

"Sebenarnya, tingkat mak cik antara terawal melakukan dekorasi. Ada 18 unit di tingkat 10 dan kami bersama-sama sepakat membuat kutipan seikhlas hati memasang jubin, mengecat dinding dan buat hiasan lain.

"Selepas itu, penghuni tingkat lain turut berminat mencantikkan kawasan mereka," kata suri rumah itu.

Suasana kesejahteraan dinikmati penduduk membuktikan rumah PPR sebenarnya boleh menjadi kediaman selesa.

Malah, tinjauan penulis di sebuah lagi PPR di Petaling Jaya memperlihatkan sikap sebagai punca masalah ketidakselesaan di situ apabila hanya sebahagian tingkat bersih manakala selebihnya tidak diurus dengan baik.

Di tingkat tiga misalnya, persekitaran gelap, berbau hancing serta dinding sepanjang koridor diconteng perkataan tidak elok.

Berbeza pula ketika penulis menjejakkan kaki di tingkat lima yang bersih selain kawasan sekitar lif dihiasi kertas dinding.

S Chowdri yang mengusahakan kedai runcit di sini mengakui mengekalkan kebersihan cabaran terbesar jika tinggal di kawasan berkepadatan tinggi.

"Mentaliti buang sampah di tempat sepatutnya susah hendak diubah terutama apabila tinggal di kawasan mempunyai ramai penduduk. Walaupun ada tong sampah, masih ada lebih suka buang sampah merata tempat," katanya.

Hakikatnya, isu membelenggu PPR seperti vandalisme, membuang sampah dari tingkat atas sehingga pernah merekodkan kes kematian, adab kejiranan turut mendapat perhatian Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming apabila melaksana peraturan baharu bagi mereka yang bakal memiliki rumah PPR.

Bermula tahun ini, mereka perlu hadiri kursus kesedaran sivik sebelum mendapat kunci rumah PPR yang bertujuan memberi kesedaran, pemahaman dan tanggungjawab hidup berkomuniti.

Dalam meningkatkan lagi kesejahteraan, fokus baharu kementerianmemberi penekanan semua projek PPR baharu perlu menepati lima ciri, iaitu berdaya huni, senang dihubungi, mampan, kualiti baik dan komuniti bagus dalam menangani isu ketidakselesaan.

USAHA penduduk mengindahkan persekitaran rumah. FOTO BERNAMA
USAHA penduduk mengindahkan persekitaran rumah. FOTO BERNAMA

Mengulas mengenainya, Felow Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (Masa) Dr Madeline Berma berkata, walaupun kursus kesedaran sivik satu langkah baik, beliau melihat pelbagai aspek perlu diberi penekanan dalam meningkatkan daya huni rumah PPR.

"Setuju mereka diberi kursus, tetapi saya melihat pendekatan itu kurang berkesan kerana kita seolah-olah menyalahkan penduduk sahaja dengan situasi berlaku walhal menangani isu ini melibatkan pelbagai aspek termasuk dari sudut kemudahan, penyelenggaraan dan daya huni rumah PPR.

"Untuk mendidik masyarakat, tidak hanya dengan beri kursus sahaja, tetapi peranan persatuan penduduk dan JMB sangat penting dan mungkin boleh mewajibkan gotong-royong sebulan sekali untuk mereka menjaga kawasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 6:19 PM