ZURAIDA (dua dari kanan) meninjau kawasan perumahan PPR Desa Mutiara Johor Bahru.
ZURAIDA (dua dari kanan) meninjau kawasan perumahan PPR Desa Mutiara Johor Bahru.
Ibrahim Isa


PENDUDUK Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara yang gemar membuang sampah merata-rata bakal dihukum apabila gambar mereka akan ditampal untuk tatapan umum.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang memulakan gerakan mengambil gambar dan memaparkan penduduk yang gemar membuang sampah sebagai pengajaran.

Menterinya, Zuraida Kamarudin, berkata gerakan itu akan dimulakan selepas pelancaran kempen ‘Saya Berani Menegur’ bulan depan.

Katanya, langkah itu bagi mengikis stigma dan label pengotor yang sering dikaitkan masyarakat terhadap penduduk di kawasan PPR seluruh negara.

“KPKT amat serius memastikan kawasan persekitaran kediaman terutama PPR selepas ini berada dalam keadaan bersih sepanjang masa malah sudah melancarkan Program Eko Komuniti #trashtocash Selasa lalu, bagi mengubah tabiat pengotor segelintir penduduk di situ.

“Kami bercadang menggerakkan usaha mengambil gambar dan memaparkan tabiat pengotor segelintir penduduk kemudian di tampal di kawasan tumpuan penduduk termasuk di papan notis PPR.

“Kami akan menggerakkan anggota bomba komuniti dan sukarela. Malah penduduk boleh ambil gambar golongan degil ini dan paparkan tabiat mereka membuang sampah merata-rata,” katanya selepas melancarkan Program Eko Komuniti #trashtocash di PPR Desa Mutiara, Tebrau, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Selasa lalu, KPKT melancarkan Program Eko Komuniti bagi menggalakkan pembabitan komuniti setempat terutamanya penduduk di PPR dalam menjaga kebersihan dan mengutamakan kesihatan.

Selain itu, ia juga membantu meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan pengasingan sampah di samping membantu menjana pendapatan sampingan dengan sampah yang dikitar semula.

PPR Bagan Jaya menjadi lokasi pertama pelancaran program berkenaan manakala pelancaran di PPR Desa Mutiara, Tebrau, Johor diadakan hari ini (semalam).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 6:00 AM