GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman tegas dalam menjalankan siasatan terhadap pegawai dan anggota yang terbabit salah laku dan tatatertib.

Pengarahnya, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, ini dibuktikan apabila seramai 804 pegawai dan anggota dikenakan hukuman atas pelbagai kesalahan tatatertib sejak Januari hingga Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, seramai 475 pegawai dan anggota dikenakan tindakan amaran manakala denda (144); lucut hak emolumen (84); dibuang kerja (69); tangguh pergerakan gaji (16); dan masing-masing lapan diturunkan gaji serta pangkat.

Selain itu, katanya, seramai 611 pegawai dan anggota ditahan kerja serta 173 digantung kerja dengan sebanyak 2,354 kertas siasatan tatatertib dibuka bagi tempoh sama.

"Tindakan itu selaras arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain supaya penguatkuasaan menyeluruh dilaksanakan mengikut Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993.

"Arahan itu antara pelan tindakan jangka pendek digariskan dalam 'Fokus KPN ke 14' yang mahukan perkhidmatan PDRM bertunjangkan integriti dan tatakelola baik serta mendukung dasar kerajaan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amaran keras disuarakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain terhadap pegawai bawahannya supaya berhenti bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Mohd Shuhaily dilaporkan berkata, wujud situasi yang mana terdapat pegawai yang sanggup mengorbankan nyawa rakan setugas demi imbuhan wang dari sindiket dengan memberikan maklumat salah dalam sesuatu operasi.

Memetik ucapannya dalam Majlis amanat dihadiri Ketua-Ketua JSJ Kontinjen, Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh negara, Mohd Shuhaily mempersoalkan bagaimana seorang sarjan boleh memiliki Alphard, Vellfire, Mercedes dan adakah pegawai atasan atau penyelia menyiasat perkara itu.

Beliau dilapor berkata, situasi berkenaan harus diberi perhatian serius oleh setiap pegawai atasan atau penyelia.

Mengulas lanjut, Azri berkata, kenyataan Mohd Shuhaily itu menyentuh isu penyeliaan di bawah JSJ Bukit Aman.

"Saya tiada data mengenai Sarjan yang dimaksudkan. Itu perlu ditanya kepada Pengarah JSJ.

"Saya berpandangan kenyataan beliau itu adalah secara umum dan beliau menyebut Sarjan pakai Alphard adalah sebagai contoh jika seseorang anggota mendapatkan sesuatu hasil daripada kegiatan dengan sindiket," katanya.

Katanya, kesalahan pelanggaran undang-undang oleh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan disiasat dan dituduh mengikut peruntukan akta sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 3:41 PM