GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 1,503 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) atas pelbagai kesalahan tatatertib, tahun lalu.

Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya berkata, daripada jumlah itu, seramai 110 yang dikenakan tindakan tatatertib membabitkan pegawai kanan, manakala 1,393 lagi adalah anggota biasa.

“Sebanyak 2,232 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan tatatertib dengan 898 daripadanya sudah diselesaikan.

“Daripada jumlah itu, 46 pegawai kanan dan 335 anggota ditahan kerja, manakala 195 pegawai kanan serta anggota dikenakan tindakan gantung kerja selain 23 pegawai kanan dan anggota dibuang kerja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Zamri berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima sebanyak 3,773 aduan membabitkan aduan salah laku tatatertib dan kesalahan jenayah seperti peras ugut, penyalahgunaan dadah serta pelacuran melalui 16 saluran termasuk e-mail dan panggilan telefon.

“Tahun lalu, seramai 10,578 pegawai dan anggota PDRM diperiksa melalui kaedah Pemeriksaan Kawal Selia Pematuhan, Pemeriksaan Proaktif dan Mystery Shopping.

“Daripada pemeriksaan itu, 16 pegawai kanan dan 223 anggota dikesan melakukan salah laku atau pelanggaran yang membolehkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap mereka.

“Selain itu, kami melakukan 92 serbuan yang membawa kepada 66 kejayaan membabitkan enam kes pemerasan, sembilan kes dadah, lima kes daun ketum dan 46 serbuan judi dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut melakukan tapisan tatatertib membabitkan 40,480 pegawai dan anggota dalam pertukaran penempatan, pengesahan jawatan, kemajuan pangkat dan lain-lain perkara bagi memastikan ketelusan serta integriti mereka.

“Malah, kami juga berjaya memastikan perakuan perisytiharan harta warga PDRM dilakukan melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) dengan pencapaian 99.8 peratus,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan berhubung pertambahan jawatan pegawai dan anggota berjumlah 1,749 untuk jabatannya dengan 427 perjawatan diperuntukkan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 8:36 PM