Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM116,000 menerusi empat serbuan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah yang diadakan sejak kelmarin.

Dalam operasi terancang itu, seramai lima lelaki ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia antara 35 hingga 58 tahun.

Katanya, suspek pertama dan kedua ditahan ketika menaiki sebuah kereta Perodua Alza berhampiran premis di Nibong Tebal, di sini.

"Hasil risikan membawa kepada serbuan kedua di Taman Tasik Mutiara Nibong Tebal. Polis kemudian menahan seorang lelaki dan merampas bungkusan berisi ganja.

"Dalam serbuan ketiga di sebuah premis di Sungai Seluang, Kulim, Kedah. Kami menahan seorang lagi suspek yang memiliki empat rekod lampau.

"Pada serbuan terakhir di sebuah pondok tidak bernombor, polis menahan seorang suspek dan merampas ketulan mampat dadah jenis ganja," katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini, hari ini.

KHAW Kok Chin (tengah) menunjukkan pelbagai dadah jenis ganja, bungkusan dadah dan batang rokok dadah jenis ‘mushroom’ yang bernilai RM116,000 pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
KHAW Kok Chin (tengah) menunjukkan pelbagai dadah jenis ganja, bungkusan dadah dan batang rokok dadah jenis ‘mushroom’ yang bernilai RM116,000 pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong

Mengulas lanjut Kok Chin berkata, keseluruhannya sebanyak 16 ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 11.3 kilogram, dua bungkusan dadah jenis 'mushroom' seberat 1.03 kg dan sebanyak 45 kotak berisi 10 batang rokok mengandungi dadah jenis mushroom seberat 360 gram dirampas.

Katanya, risikan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak awal tahun ini bagi pasaran tempatan dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh diguna oleh seramai 50,000 penagih jika berjaya dipasarkan.

Tiga kenderaan turut disita dengan jumlah keseluruhan sitaan dan rampasan dadah bernilai RM201,520 manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 6:02 PM