DADAH yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
DADAH yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Polis menahan empat lelaki dan merampas dadah jenis syabu, pil yaba dan Epam yang bernilai RM116,000 dalam dua serbuan berasingan di hadapan Tadika Kemas Taman Rantau Mas serta Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang di sini, semalam.

Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Pasir Mas dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan masing-masing pada jam 5.45 petang dan 6 petang.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, serbuan pertama pihaknya menahan mekanik berusia 30 tahun dan merampas syabu seberat 1,047 gram, 8,000 pil yaba bernilai RM116,000 serta menyita wang tunai RM7,925 dan sebuah motosikal Yamaha NVX.

Katanya, sebelum itu, pihaknya membuat pemerhatian selama lima minit dan mendapati sebuah motosikal jenis Yamaha 125 Z yang ditunggang seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berhenti di lokasi itu.

"Pada masa yang sama polis ternampak satu beg galas berzip warna merah yang terletak di dalam bakul motosikal lelaki itu.

"Polis terus menghampiri lelaki itu dengan memperkenalkan diri dan lelaki itu cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Pemeriksaan ke atas tubuh badan lelaki itu tidak menemui barang yang salah dan seterusnya polis menjumpai beg galas di dalam bakul motosikal. Hasil pemeriksaan dalam beg galas menjumpai satu bungkusan plastik kurier yang mengandungi dadah jenis syabu dan pil yaba," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat suspek tidak mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya tetapi hanya berperanan sebagai orang yang menghantar saja dan mendapat upah daripada seorang lelaki dengan upah RM300 setiap kali hantar. Ini adalah kali ketiga dirinya menjalankan aktiviti penghantaran dadah.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Susulan itu, polis menahan tiga lelaki berusia 25 hingga 39 tahun di sebuah kedai di Kampung Banggol Kulim. Pemeriksaan menemui dua biji pil Epam yang bernilai RM20 daripada seorang lelaki dan tidak menemui apa-apa barang yang salah daripada dua lagi lelaki.

"Hasil soal siasat, ketiga-tiga suspek menafikan rampasan barang kes terdahulu adalah milik mereka. Namun, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut.

"Bagi tangkapan kes dadah jenis syabu dan pil yaba disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan tangkapan pil Epam mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 11:46 AM