Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tiada halangan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan berhubung dakwaan berlakunya rasuah membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk melengkapkan proses siasatan yang diperlukan.

"Sekurang-kurangnya ada tiga perkara di sini. Pertama, secara spesifik, dakwaan mengatakan ada elemen rasuah, (pendirian kita) terang bahawa SPRM dipelawa tanpa apa-apa halangan untuk memulakan atau meneruskan siasatan bagi mengesahkan dakwaan tersebut.

"Kedua, merujuk khusus kepada insiden tempoh hari, saya sudah berbincang dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Datuk Seri Tiong King Sing). Hasilnya akan kami bawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini," katanya ditemui selepas Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke-51, di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara Bukit Selambau di sini, hari ini.

SAIFUDDIN Nasution Ismail (kiri) beramah mesra dengan anggota selepas melekatkan patches kawalan sempadan RELA kepada anggota RELA. FOTO Syahirim Abidin
SAIFUDDIN Nasution Ismail (kiri) beramah mesra dengan anggota selepas melekatkan patches kawalan sempadan RELA kepada anggota RELA. FOTO Syahirim Abidin

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, perkara ketiga, JIM hanya mengamalkan peraturan Imigresen antarabangsa yang diterima pakai majoriti negara untuk mengawal pintu masuk sempadan kerana ia bukan pemeriksaan biasa sebaliknya membabitkan elemen keselamatan.

"Apabila kita melepasi kaunter Imigresen, ada sekurang-kurangnya tiga soalan asas yang mereka akan tanya iaitu di mana tempat tinggal kita, adakah mempunyai dana yang cukup sepanjang tempoh pelawat berada di sesuatu negara dan yang ketiga ada tak tiket pulang.

"Sekiranya pelawat melepasi tiga soalan itu, urusan seterusnya tak ada masalah dan hanya jika ada masalah di peringkat itu barulah proses seterusnya mengambil tempat iaitu Notis Penolakan Masuk (NTL) yang berasaskan kepada komunikasi Imigresen dengan pelawat," katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, jumlah pelawat yang dikenakan NTL ke negara ini sangat kecil berbanding pengunjung yang dibenarkan masuk.

"Contoh, pelawat dari China, bulanan antara purata 50 ke 60 orang sahaja (dikenakan NTL). Tapi itu adalah proses biasa yang dilakukan mengikut peraturan oleh pegawai Imigresen yang bertugas di pintu masuk negara," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk KDN memperluas penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota dan pegawai Imigresen, beliau berkata, tumpuan ketika ini adalah membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.

"Buat masa ini, kami fokus kamera badan ini kepada polis dahulu (kerana) yang itu bajet dah ada dan proses untuk menyediakannya sudah berjalan. Letak di situ dahulu, saya tak mahu berlebih-lebihan. Saya kekal di situ dahulu tak mahu komen apa-apa bab itu (keperluan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 3:50 PM