Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan 10 lelaki warga China melakukan penipuan pakej pelaburan mata wang kripto di dua unit kondominium sekitar Cheras, di sini, sejak Mei lalu terbongkar seleps mereka ditahan dalam serbuan dilakukan, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, semua individu yang ditahan itu berusia antara 19 hingga 40 tahun.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 21 telefon bimbit, lima komputer riba, modem dan router yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

"Modus operandi sindiket berkenaan adalah menyasarkan pelanggan warga China untuk menyertai pakej pelaburan itu dengan menghubungi mereka melalui panggilan telefon serta Telegram," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Zam Halim berkata, mangsa yang terpedaya dengan pujukan sindiket itu akan diminta membayar 100 yuan (RM64) bagi membuka akaun di laman sesawang www.aicoin.com untuk pendaftaran.

"Mereka (mangsa warga China) yang sudah membuka akaun akan diberikan nama pengguna beserta kata laluan untuk mengakses laman web berkenaan.

"Sindiket ini menyasarkan 30 hingga 50 pelanggan warga China menyertai pelaburan berkenaan setiap hari," katanya.

Beliau berkata, ahli sindiket itu yang bekerja sebagai 'pegawai perkhidmatan pelanggan' akan diberikan komisen antara 10 peratus hingga 15 peratus daripada jumlah pelaburan diperoleh.

"Hasil kegiatan itu, sindiket terbabit dipercayai meraih keuntungan antara RM50,000 hingga RM100,000 sebulan sepanjang lebih dua bulan beroperasi.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati hanya seorang daripada 10 suspek memiliki pas perjalanan sah, manakala sembilan lagi suspek tiada dokumen perjalanan diri.

"Semua suspek ditahan selama empat hari bermula semalam hingga 7 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 511 dan Seksyen 120B akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 5:47 PM