ANTARA barang dipercayai digunakan bagi kegiatan penipuan dalam talian yang dirampas dalam serbuan di dua kediaman kondominium di Salak Selatan, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barang dipercayai digunakan bagi kegiatan penipuan dalam talian yang dirampas dalam serbuan di dua kediaman kondominium di Salak Selatan, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang mengaut keuntungan RM13 juta sebulan terbongkar apabila polis membuat serbuan di dua kediaman kondominium di Salak Selatan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya membuat serbuan di dua premis berkenaan yang dijadikan sebagai pusat panggilan bagi kegiatan penipuan dalam talian kira-kira jam 1 petang, semalam.

"Dalam serbuan itu, seramai tujuh lelaki tempatan berusia antara 14 hingga 40 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan judi dalam talian.

"Remaja berusia 14 tahun yang ditahan dalam serbuan itu didapati bekerja di pusat panggilan berkenaan dan tidak bersekolah.

"Kami turut merampas 14 monitor, tujuh unit pemprosesan komputer (CPU), 18 telefon bimbit pelbagai jenama dan tiga modem," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zam Halim berkata, siasatan awal dilakukan mendapati premis itu digunakan untuk mempromosikan judi dalam talian yang menyasarkan individu tempatan dan warga asing.

"Transaksi kemasukan kredit bagi sindiket perjudian itu dianggarkan sekitar RM13 juta sebulan sejak mula beroperasi sejak April lalu.

"Semua individu ditahan direman selama empat hari bermula hari ini hingga 9 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 120(B)/420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan membabitkan sindiket sedemikian kepada pihak polis.

"Orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 7:10 PM