Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan satu sindiket yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah menerusi aplikasi Telegram terbongkar selepas empat individu termasuk seorang wanita ditahan dalam dua serbuan di sebuah kondominium di Sungai Besi, di sini, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menjalankan operasi khas itu bermula jam 2 petang hingga 9 malam, Isnin lalu, yang membawa kepada penahanan empat suspek berusia antara 26 hingga 43 tahun berkenaan.

"Serbuan pertama dilakukan di lobi kondominium berkenaan dengan menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bersama rampasan dadah jenis ganja seberat satu kilogram.

"Susulan tangkapan itu, kami menahan tiga lagi individu termasuk seorang wanita berusia antara 30 hingga 43 tahun di kondominium sama.

"Kami turut merampas 41,240 gram ganja, wang tunai RM200, seutas gelang emas, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan motosikal Honda RS," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Zam Halim berkata, keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 42,000 penagih dengan nilai RM130,944.

"Modus operandi sindiket itu yang aktif sejak enam bulan lalu adalah berurusan dengan pelanggan mereka menerusi Telegram selain menjadikan rumah sewa mereka yang dibayar RM1,900 di kondominium berkenaan sebagai tempat menyimpan dadah.

"Hasil perbincangan di Telegram, mereka akan menetapkan lokasi perjumpaan untuk menghantar dadah berkenaan yang diperoleh daripada pengedar tempatan di Kuala Lumpur bagi pasaran sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek lelaki memiliki rekod jenayah dan kes dadah.

"Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati dua suspek lelaki juga positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).

"Semua suspek yang tidak memiliki pekerjaan tetap itu direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Kami mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang di daerah ini menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 03-92050222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 12:53 PM
ZAM Halim Jamaluddin menunjukkan rampasan ganja dalam satu operasi khas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad.
ZAM Halim Jamaluddin menunjukkan rampasan ganja dalam satu operasi khas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad.