Dadah yang dijual RM50 dengan seberat 0.5 gram susulan kejayaan tangkapan pengedar dadah warga tempatan dengan rampasan dadah di IPD Cheras, Kuala Lumpur. FOTO GENES GULITAH
Dadah yang dijual RM50 dengan seberat 0.5 gram susulan kejayaan tangkapan pengedar dadah warga tempatan dengan rampasan dadah di IPD Cheras, Kuala Lumpur. FOTO GENES GULITAH
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Dua lelaki dan seorang wanita berusia 19 tahun ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM516,373 dalam serbuan ke atas sebuah kondominium mewah sekitar Cheras, di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, suspek terbabit menyewa sebuah unit kondominium untuk dijadikan pusat pembungkusan dadah sebelum diedarkan semula di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, kedua-dua suspek lelaki ditahan di kawasan lobi kondominium berkenaan manakala suspek wanita yang dipercayai kekasih kepada salah seorang suspek lelaki ditahan di sebuah unit kediaman di premis sama.

"Susulan tangkapan dua suspek lelaki polis menyerbu sebuah unit rumah di kondominium berkenaan dan menemui dadah jenis syabu seberat 12.05 kilogram (kg), 3,570 biji pil ekstasi (1.8 kg), heroin base (373 gram), serbuk MDMA (515 gram).

"Suspek menyewa di kondominium yang berpengawal itu pada kadar RM1,500 sebulan sejak Ogos lalu untuk dijadikan sebagai stor simpanan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Zam Halim berkata, suspek dipercayai memperoleh bekalan dari sekitar Lembah Klang lalu membungkus semula di kondominium berkenaan sebelum dijual semula.

Katanya, bagi mengelak dikesan suspek hanya menjual kepada individu dikenali dan pelanggan tetap yang terdiri dari pelbagai lapisan termasuk golongan profesional dan pelajar

"Ketiga-tiga suspek merupakan penganggur menjadikan kegiatan pengedaran dadah ini sebagai punca pendapatan utama, mereka dipercayai menjadi middleman.

"Penggunaan dadah ini dipercayai untuk golongan atasan berhibur, kemungkinan juga digunakan pelajar untuk mengulang kaji malah digunakan oleh golongan profesional," katanya.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga suspek mempunyai kaitan dengan rangkaian dengan sindiket pengedaran dadah lebih besar namun buat masa ini ia masih dalam siasatan.

Katanya, polis juga akan merakam percakapan pemilik premis untuk mengenal pasti sejauh mana penglibatannya dalam kegiatan itu.

"Buat masa ini kita sedang jalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti peranan suspek terbabit dan siapa dalang di sebalik kegiatan itu.

"Semakan rekod mendapati kesemua suspek masing-masing mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan narkotik," katanya.

Beliau berkata, ujian urin mendapati suspek lelaki berusia 29 tahun dan suspek wanita negatif dadah manakala suspek lelaki berusia 33 tahun positif dadah jenis syabu.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.

"Kejayaan ini hasil maklumat orang awam yang disalurkan kepada pihak polis, sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi IPD Cheras di talian 0392050222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 12:29 PM