GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Penunggang motosikal maut selepas terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Desa 3, Bandar Country Homes dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kemalangan berlaku 12.18 tengah malam itu membabitkan sebuah motosikal ditunggangi lelaki berusia 23 tahun.

Menurutnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati semasa mangsa menunggang motosikal dari arah Bandar Country Homes menghala ke Rawang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar tiang lampu sehingga tercampak.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan dari Hospital Sungai Buloh.

"Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556 atau Bilik Gerakan lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 5:39 PM