PETIKAN video dirakam di lokasi kemalangan.
PETIKAN video dirakam di lokasi kemalangan.
Nurul Hidayah Bahaudin


Rawang: Kegagalan brek menjadi punca kemalangan lori dengan lapan kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Rawang Mutiara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu, 3.40 petang, semalam.

"Siasatan awal dilakukan mendapati kejadian berlaku ketika lampu isyarat merah dan semua kenderaan berhenti di lorong kanan.

"Lori terbabit yang berada paling hadapan tiba-tiba mengundur menyebabkannya melanggar beberapa kenderaan di belakang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada brek lori berkenaan gagal berfungsi.

"Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan usaha mengesan kenderaan yang terbabit masih dijalankan untuk siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 12:06 PM