KOO Soon Yin dan isterinya Ho Zhi Wei ditemui rentung dalam kebakaran kereta di Jalan Kuala Garing, Rawang. FOTO Ihsan Keluarga
KOO Soon Yin dan isterinya Ho Zhi Wei ditemui rentung dalam kebakaran kereta di Jalan Kuala Garing, Rawang. FOTO Ihsan Keluarga
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: "Saya menerima satu pesanan kecemasan daripada telefon bimbit abang ketika sedang tidur dan terus mengejut ayah serta abang sulung untuk ke lokasi tertera dalam SMS terbabit namun ketika tiba api sudah dipadamkan," kata adik perempuan seorang lelaki dan isterinya yang rentung dalam kemalangan di Jalan Kuala Garing, Rawang di sini, hari ini.

Wanita terbabit yang enggan dikenali berkata, telefon bimbit abangnya, Koo Soon Yin itu ada memuat satu aplikasi jika berlaku apa-apa insiden keluarga akan menerima SMS.

"Apabila abang sulung tiba di lokasi kejadian api sudah dipadamkan pihak bomba manakala mayat abang dan isterinya, Ho Zhi Wei sudah dihantar ke hospital.

"Ketika melihat mayat mereka di hospital keadaannya agak teruk terbakar dan menyedihkan," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, abang dan kakak iparnya itu baru selesai makan bersama rakan dan ingin pulang ke rumah di Rawang.

"Ketika ini, anak mereka berusia empat tahun dijaga ibu kakak ipar dan dia belum tahu kematian mengenai ibu bapanya.

"Kami hanya boleh menuntut mayat esok kerana perlu menjalani bedah siasat," katanya.

Sementara itu, siasatan polis mendapati hilang kawalan dipercayai punca kemalangan dua kenderaan sehingga mengorbankan pasangan suami isteri yang rentung terbakar dalam kejadian di Jalan Kuala Garing, Rawang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan jam 4.30 pagi berkaitan kemalangan itu.

Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa lelaki berusia 26 tahun memandu kereta Honda City bersama isterinya dari arah Bandar Country Homes menghala ke arah Rawang.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh lori dipandu oleh seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah Rawang menghala ke Bandar Country Homes.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua kenderaan terbakar. Mangsa dan isterinya berusia 23 tahun tidak dapat diselamatkan dan terbakar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dibawa ke forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 8:21 PM