GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Hairulnizam, kamu amat bernasib baik mahkamah tidak teruskan dengan pertuduhan asal (mengedar dadah)....(jadi) ambil peluang, sisa hidup dalam penjara untuk baiki diri kamu," kata Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Radzi Abdul Hamid.

Beliau menasihati tertuduh Hairulnizam Rahmad, 41, yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 67.15 gram (g) dan 5.76g pada 2019.

Mohd Radzi kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan terhadap tertuduh yang juga penarik kereta, menggantikan hukuman gantung sampai mati yang diperuntukkan dalam pertuduhan asal mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mengikut pertuduhan pilihan, Hairulnizam didakwa memiliki dadah seberat 67.15g di sebuah rumah di Jalan TMU 8, Taman Tanjung Minyak Utama, pada 11.35 pagi, 18 Mac 2019.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan.

Lelaki itu turut dituduh pada tarikh, masa dan di tempat sama, memiliki dadah seberat 5.76g dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.

Mengikut pertuduhan asal, tertuduh didakwa bersama isterinya, Nazera Misri mengedar methamphetamine seberat 67.15g, yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati, selain pertuduhan memiliki 5.76g dadah jenis sama.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan Nazera selepas Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof menarik balik kedua-dua pertuduhan berkenaan susulan pengakuan Hairulnizam.

Terdahulu, peguam Tiu Leong Kim yang mewakili Hairulnizam memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh sudah menyesal, bertaubat dan berjanji tidak mengulangi kesalahannya lagi.

Katanya, tertuduh juga sudah ditahan di penjara selama empat tahun tiga bulan dan 10 hari sejak ditangkap.

Nazera diwakili peguam Mak Kah Keong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 4:22 PM