Wan Mustafa (kiri) dipenjara tujuh tahun dan 10 sebatan selepas mengaku memiliki heroin dan methampetamine di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Muhd Faris Zainuldin
Wan Mustafa (kiri) dipenjara tujuh tahun dan 10 sebatan selepas mengaku memiliki heroin dan methampetamine di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Muhd Faris Zainuldin
Muhamaad Razis Ismail


PENGANGGUR dipenjara tujuh tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan memiliki heroin dan methampetamine, Januari lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Wan Mustafa Mamat, 44, mengaku salah terhadap tuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki heroin seberat 5.25 gram di Kampung Badang di sini pada jam 5.45 pagi, 12 Januari 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methampetamine seberat 0.49 gram di lokasi dan tarikh serta masa yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 yang dihukum di bawah seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Mun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 3:10 PM