BERNAMA

Ipoh: Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM538,646 dalam serbuan di Jalan Medan Ipoh, dekat sini Isnin lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata lelaki dan wanita berusia 37 dan 39 tahun itu ditahan di rumah sewa mereka pada 7.45 malam.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas dadah disyaki jenis ketamin seberat 8.5 gram, lapan pil ekstasi, lima pil erimin 5 serta serbuk dadah dipercayai ekstasi dianggar seberat 22.4 gram," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan mereka, polis menyerbu sebuah rumah yang disyaki digunakan untuk menyimpan dan membungkus dadah di kawasan yang sama, pada 10.25 malam.

Katanya hasil serbuan menemukan dadah jenis ketamin seberat 757 gram, pil ekstasi seberat 1.08 kilogram (kg), pil erimin 5 (4.32kg), serbuk ekstasi (1.02kg) serta 141 peket serbuk minuman disyaki serbuk ekstasi (3.427kg).

Mohd Yusri berkata pihaknya turut menyita sebuah kenderaan jenis Nissan Almera serta merampas wang tunai RM1,200 serta beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk membungkus dadah.

Beliau berkata hasil saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis ketamin, namun pasangan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mereka disyaki terlibat dengan aktiviti mengedar dadah di sekitar negeri ini sejak tiga tahun lepas manakala dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 40,000 penagih," katanya dan menambah pasangan itu direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Yusri Hassan (tengah) ketika sidang media. FOTO L.MANIMARAN
Mohd Yusri Hassan (tengah) ketika sidang media. FOTO L.MANIMARAN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 12:07 PM