Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperhalusi cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membenarkan pesakit kanser membeli susu formula khas di hospital dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya perlu meneliti keperluan cadangan berkenaan dan melihat kesesuaian susu formula yang dikhaskan buat pesakit kanser itu.

"Kita perlu melihat perincian perkara itu dan jika perlu serta ada kepentingan kepada pesakit, kita boleh perhalusi perkara itu," katanya ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Projek Bangunan Baharu Makmal Patologi, HSA; Klinik Kesihatan Taman Ungku Tun Aminah dan Klinik Kesihatan Palong Timur, Segamat di HSA di sini, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan, KPDN akan berbincang dengan Menteri Kesihatan supaya pesakit kanser dibenarkan membeli susu formula khas di hospital dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, susu formula untuk pesakit kanser itu bukan barang harga kawalan dan memahami harganya mahal kerana ia diimport.

PENDANG 12 JANUARY 2023. Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR
PENDANG 12 JANUARY 2023. Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Terdahulu, akhbar ini melaporkan pesakit kanser resah apabila berlakunya kenaikan harga susu formula sejak tahun lalu hingga membebankan mereka.

Kenaikan harga sebanyak RM10 itu didakwa berlaku sejak Disember lalu dan situasi terbabit membuatkan pesakit kanser bimbang jika harga susu berkenaan terus meningkat terutamanya untuk mereka yang tidak mendapat bantuan.

Difahamkan, harga susu itu yang dulunya dijual pada harga RM78 meningkat kepada RM80, RM82, RM88, RM90 dan terkini RM94 secara berperingkat yang secara tidak langsung membebankan pesakit terutama mereka yang tiada sumber pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 1:40 PM