HAMPIR semua pesakit kanser memerlukan susu formula, malah ada yang hanya bergantung sepenuh dengannya sebagai ganti makanan. FOTO Arkib NSTP
HAMPIR semua pesakit kanser memerlukan susu formula, malah ada yang hanya bergantung sepenuh dengannya sebagai ganti makanan. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Umpama 'talian hayat', susu formula untuk pesakit kanser membantu golongan itu meneruskan kehidupan, namun kini meresahkan 'poket' mereka kerana berlaku kenaikan harga produk terbabit sejak tahun lalu hingga membebankan.

Kenaikan harga sebanyak RM10 itu didakwa berlaku sejak Disember lalu dan situasi terbabit membuatkan pesakit kanser bimbang jika harga susu berkenaan terus meningkat terutama untuk mereka yang tidak mendapat bantuan.

Ini kerana golongan itu sudah tidak bekerja sekali gus menjadikan mereka tiada pendapatan untuk membelinya, manakala untuk pesakit kanak-kanak pula, ada kalangan ibu bapa mereka tidak berkemampuan.

Demi kelangsungan hidup, hampir semua pesakit kanser memerlukan susu formula itu, malah ada yang hanya bergantung sepenuh dengannya sebagai ganti makanan.

Tinjauan Harian Metro di beberapa farmasi sekitar Lembah Klang mendapati berlaku kenaikan harga susu formula khas ketika ini.

Difahamkan, harga susu itu yang dulunya dijual pada harga RM78 meningkat kepada RM80, RM82, RM88, RM90 dan terkini RM94 secara berperingkat yang secara tidak langsung membebankan pesakit terutama mereka yang tiada sumber pendapatan.

Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal berkata, kenaikan harga susu formula bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu menyebabkan pesakit kanser terutama golongan asnaf tidak mampu membelinya.

Menurutnya, susu formula penting kerana ia antara makanan tambahan utama untuk pesakit kanser terutama ketika dalam rawatan yang mana ada kalanya mereka tidak boleh makan makanan pejal.

"Contohnya seperti ibu mentua saya yang juga pesakit kanser paru-paru, sahabat saya pesakit kanser lidah, kelenjar air liur dan pangkal hidung yang membuat radioterapi atau pembedahan di bahagian mulut, mereka tak boleh makan makanan pejal, jadi bergantung sepenuhnya dengan susu.

"Secara keseluruhannya pesakit kanser mengalami masalah penurunan berat badan yang serius dan kehilangan nutrisi badan kerana kesan sampingan daripada rawatan kemoterapi, radioterapi atau hilang selera makan akibat pembedahan.

"Jadi, susu ini memang diperlukan sebagai makanan tambahan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Zuraini yang juga bekas pesakit kanser berkata, secara puratanya, seseorang pesakit kanser memerlukan perbelanjaan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan untuk bekalan susu formula berkenaan.

"Ini kerana satu tin seberat 800 gram hanya untuk kegunaan sehari setengah, manakala dua tin boleh digunakan untuk tiga hingga empat hari saja. Jadi kalau harga semakin mahal, memang ramai yang tidak mampu terutama golongan asnaf.

"Sebab itu ada yang mengurangkan pengambilan susu yang mana jika mereka perlu minum susu itu setiap tiga hingga enam jam atau empat hingga enam kali sehari, mereka hanya minum sehari sekali atau dua kali saja sehari," katanya.

Katanya, pesakit kanser juga kehilangan pekerjaan, tiada pendapatan dan ada yang hilang upaya kekal yang mana harga susu berkenaan akan membebankan mereka jika semakin mahal.

"Setiap bulan CSM membantu golongan asnaf dengan menyalurkan 100 hingga 200 tin susu yang mana setiap kes akan menerima dua tin susu.

"Bagaimanapun, kami berharap satu mekanisme dapat diperkenalkan oleh kerajaan untuk mengawal kenaikan harga susu ini atau memberi harga subsidi khusus untuk pesakit kanser yang memang memerlukan," katanya.

Sementara itu, aktivis yang juga pesakit kanser pangkal hidung, Zaki Yahya, 51, berkata keluhan dan rungutan sama turut diterima daripada pesakit kanser lain yang dikunjunginya.

Menurutnya, dia disahkan menghidap kanser pada Ogos 2017 dan mendapat rawatan di Institut Kanser Negara hingga kini.

Katanya, sepanjang menjalani rawatan radioterapi sebanyak 35 kali, dia bergantung dengan susu formula sepenuhnya hampir setahun.

"Masa itu harga (susu) lebih kurang RM78, tahun 2018 mula naik harga hinggalah sekarang. Harga di Sabah dan Sarawak lebih mahal. Saya berasa sangat terkesan sebab saya hilang keupayaan bekerja, tiada pendapatan dan bantuan. Ramai mengadu benda sama (peningkatan harga susu) kerana ini kenyataan.

"Selepas saya mengasaskan Persatuan Ziarah Sahabat Kanser pada 2020, antara permintaan utama adalah susu. Kebanyakan mereka perlu susu ini, tapi ada yang tak mampu nak beli," katanya.

Menurutnya, dia turut mengayuh basikal ke seluruh negeri di Semenanjung termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei bagi mendapatkan bantuan untuk disumbangkan kepada pesakit kanser yang kurang berkemampuan.

"Pesakit kanser ada yang susah nak dapatkan bantuan. Itu sebab saya tubuhkan NGO ini dan saya kayuh basikal ke merata tempat untuk kumpul dana. Hasilnya untuk beli susu dan bagi kepada pesakit kanser.

"Harga susu terlalu mahal. Sedangkan ada kes, seorang anak perlukan susu satu tin sehari, harga setin pula lebih RM100. Saya berusaha dapatkan dana untuk dua bulan yang mencecah RM6,000," katanya.

'Kenaikan harga susu formula buat saya makin tertekan'

"Setiap kali mahu membeli susu formula, saya terpaksa membuat tinjauan harga yang 'terbaik' dulu. Kenaikan harga susu membuatkan saya amat terbeban, malah turut risau jika harga (susu) akan terus naik."

Begitu kata pesakit kanser lidah tahap empat, Azran Jaffar, 56, dari Lembah Keramat, di sini, yang menganggap susu formula berkenaan ibarat 'talian hayat' berikutan tidak boleh menjamah makanan pejal akibat menderita penyakit itu sejak 2020 lalu.

Azran berkata, dia kini hanya bergantung dengan susu formula saja, malah memerlukan sebanyak 30 tin susu sebulan sejak hampir tiga tahun lalu.

Menurutnya, pada masa sama dia juga terkesan apabila harga susu formula semakin meningkat dan mengakui terpaksa pergi ke beberapa premis untuk memilih harga susu yang lebih murah.

"Jika harga susu formula khas terus naik akhirnya akan 'menjerat' pesakit kanser kerana susu ini amat diperlukan kerana kami sukar untuk makan makanan (pejal).

"Kami juga tidak boleh menukar susu tanpa saranan dan nasihat daripada doktor kerana tidak semua susu sesuai untuk setiap pesakit itu.

"Dalam sebulan sahaja, saya memerlukan 30 tin susu atau setin susu untuk sehari yang mana saya perlu minum enam kali sehari dengan sukatan mengikut berat badan dan keadaan tubuh," katanya ketika ditemui, di sini.

KEADAAN Azran yang menghidap kanser lidah ketika ditemui di kediamannya di Taman Lembah Keramat. FOTO Asyraf Hamzah
KEADAAN Azran yang menghidap kanser lidah ketika ditemui di kediamannya di Taman Lembah Keramat. FOTO Asyraf Hamzah

Azran kini sudah tidak boleh bercakap dengan baik kerana lehernya ditebuk dan kebimbangan mengenai kenaikan harga susu formula itu disuarakannya melalui mesej di WhatsApp.

"Susu untuk berat 400 gram (g) berharga antara RM50 hingga RM60, 850g pula antara RM90 hingga RM100 dan pek isian semula (refill) kira-kira RM167 hingga RM180 seberat 1.6 kilogram atau lebih kurang dua tin yang beratnya 850g.

"Tetapi saya selalu beli yang isian semula kerana lebih murah (berbanding tin). Sebelum ini saya beli susu harganya RM157 untuk empat pek 400g pada Disember lalu.

"Dan ketika pekerja premis cakap harga akan naik dan sebulan selepas itu memang harganya meningkat menjadi RM167.30," katanya.

Menurutnya, kehidupannya kini hanya bergantung dengan susu formula kerana tidak boleh makan makanan lain yang mana susu itu juga adalah yang dicadangkan oleh hospital.

Katanya, beban ditanggungnya sedikit ringan kerana dia dibantu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan menerima 16 tin susu, namun tetap perlu membeli sendiri selebihnya yang mana ia memerlukan kos RM800 sebulan.

"Memang terasa sangat kenaikan harga, itu yang kita bimbang terutama untuk rakan senasib yang tidak mendapat bantuan kerana peruntukan susu saja sudah hampir RM2,000 sebulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 12:00 PM