Ali Iqbal


Muar: "Alhamdulillah, Aidiladha tahun ini amat bermakna, tak sabar nak sambut dengan keluarga," itu reaksi tiga sahabat yang terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan memiliki dan mengedar dadah, lima tahun lalu.

Mereka ialah Yuslaili Ahmad, 41, yang juga tertuduh pertama, Iman Suhatman, 34, (kedua) dan Izatul Afiqah Khairudin, 33, (ketiga) selepas mahkamah mendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie untuk mensabitkannya dengan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Hakim Datuk Halijah Abbas dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapat kes ini tidak dibuktikan secara konklusif bahawa terdapat kawalan dan milikan terhadap dadah terbabit.

"Keterangan dua saksi termasuk ahli kimia (saksi pendakwaan ketujuh) tidak boleh dipercayai dan ketiga-tiga tertuduh didapati bukan penghuni tetap rumah terbabit," katanya.

Dalam kes ini, Iman dan Izatul Afiqah berhadapan tiga pertuduhan manakala Yuslaili, tujuh pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama kerana mengedar 286.37 gram (g) dadah berbahaya jenis methamphethamine.

Pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki 0.20g morfin dan 0.37g heroin.

Empat lagi pertuduhan untuk Yuslaili ialah mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Mengikut fakta kes, polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat, pada jam 11.45 pagi, 15 Oktober 2018 dan menahan ketiga-tiga tertuduh selepas menemui dadah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hidayat Wahab manakala Yuslaili, Iman dan Izatul Afiqah masing-masing diwakili Sukhaimi Mashud, G Subramaniam dan S Selvanteran serta Farhan Maaruf.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 6:19 PM
YUSLAILI (dari kiri) Iman, dan Izatul Afiqah berbincang dengan peguam selepas Mahkamah Tinggi Muar melepas dan membebas mereka. GAMBAR kanan Iman memeluk ibunya. FOTO Ali Iqbal
YUSLAILI (dari kiri) Iman, dan Izatul Afiqah berbincang dengan peguam selepas Mahkamah Tinggi Muar melepas dan membebas mereka. GAMBAR kanan Iman memeluk ibunya. FOTO Ali Iqbal