LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis mencari seorang lelaki memakai pelitup muka dan bertopi ketika memecah masuk restoran penyanyi dan pengacara, Shiha Zikir.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan perbuatan lelaki itu berdasarkan semakan kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.

"Polis sedang mengesan suspek dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan penyanyi dan pengacara, Shiha Zikir berdepan dugaan apabila restoran miliknya, Shiha Zikir Nasi Ayam dipecah masuk dan dirompak.

Shiha ketika dihubungi berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pekerjanya selepas membuka kedai, pagi ini.

"Pekerja saya masuk bekerja jam 10 pagi tadi dan menyedari kehilangan mesin tunai. Mujurlah tak ada banyak wang tunai di dalam mesin itu.

"Bagaimanapun, ia mengganggu dari segi sistem contohnya sistem pesanan dan sebagainya yang terpaksa diset semula," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai jumlah kerugian akibat insiden yang berlaku di Kampung Baru itu, Shiha berkata, ia mencecah RM20,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 4:40 PM