LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menjalankan siasatan berhubung kejadian helikopter mendarat di kawasan lapang Seksyen U11, Shah Alam, Selangor seperti tular semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud berkata, siasatan mendapati ia helikopter peribadi jenis G2CA-Cabri dengan nombor pendaftaran N99UR yang dilaporkan mendarat pada 17 April lalu.

"Siasatan dijalankan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs)," kata kenyataan itu.

CAAM mengingatkan semua pengendali pesawat bahawa pematuhan penuh kepada peraturan dan arahan adalah wajib bagi memastikan keselamatan orang awam.

Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Harian Metro semalam melaporkan tular di media sosial video dikongsi seorang penduduk yang memaparkan sebuah helikopter berlepas dari kawasan lapang berhampiran kawasan perumahan di lokasi itu.

Terdapat juga gambar menunjukkan seorang kanak-kanak berjalan meninggalkan helikopter itu dengan juruterbang berdiri di tepi pesawat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim kemudian dilaporkan berkata, polis merujuk kes terbabit kepada CAAM untuk tindakan lanjut.

Beliau dipetik berkata, satu laporan polis dibuat oleh Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Katanya, helikopter itu mendarat kira-kira 15 minit sekitar jam 8 pagi di kawasan tanah lapang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 6:26 PM