Zahratulhayat Mat Arif


Ipoh: Polis akan memanggil beberapa individu termasuk seorang bergelar Datuk bagi membantu siasatan berhubung kejadian helikopter mendarat di Padang Ipoh, di sini, untuk mengambil bungkusan nasi ganja, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah mengenal pasti individu serta syarikat berkaitan dan keterangan mereka akan diambil kelak.

"Selain individu-individu terbabit, polis juga akan memanggil pengusaha restoran nasi ganja berkenaan untuk membantu siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, siasatan akan dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 342).

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sudah memulakan siasatan ke atas helikopter Bell 505 yang mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil tempahan nasi ganja berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo dalam kenyataan hari ini berkata, helikopter berkenaan didapati mendarat di kawasan berkenaan pada 10 pagi semalam.

Katanya, siasatan dibuat bagi menentukan sama ada helikopter itu melanggar mana-mana peraturan seperti tertakluk dalam Peraturan- Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).

Semalam, insiden pendaratan helikopter berkenaan tular di media sosial apabila ia dikatakan mendarat di Padang Ipoh semata-mata untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja.

Kehadiran helikopter dinaiki dua lelaki dikatakan membuat penerbangan dari Kuala Lumpur mengejutkan orang ramai apabila didapati terbang rendah sebelum mendarat sekitar 9.55 pagi.

Berikutan itu, polis turut membuka kertas siasatan sama ada kejadian melanggar prosedur operasi standard (SOP) iaitu larangan merentas daerah dan negeri.

Berita berkaitan

Polis siasat helikopter ambil 'nasi ganja' langgar SOP rentas negeri

CAAM siasat helikopter ambil nasi ganja

'Dah lama tak makan nasi vanggey' - Tengku Zafrul

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 2:50 PM