Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF). FOTO BERNAMA
Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF). FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Menyuarakan ketidakpuasan terhadap pelaksanaan projek-projek kecil seperti membaik pulih sekolah dan klinik kesihatan daif yang lambat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu proses itu disegerakan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan pada November tahun lalu sudah mengumumkan semua sekolah dan klinik daif harus diperbaiki dan diselesaikan tahun ini namun pelaksanaan itu tidak memuaskan terutama di peringkat bawah membabitkan pejabat daerah.

Anwar menegaskan penyaluran peruntukan untuk projek-projek kecil perlu disegerakan memandangkan sekolah-sekolah yang tiada tandas atau bumbung bocor tidak boleh menunggu dua tahun walaupun peruntukan untuk perkara itu telah diluluskan.

"Saya nak pastikan peruntukan disalurkan segera," katanya pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.

Anwar berkata beliau sudah berbincang dengan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi supaya projek-projek kecil dikecualikan dari tugas Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ketika ini dibebani dengan ribuan projek untuk diserahkan kepada jabatan dan kementerian berkaitan terutama di peringkat pegawai daerah bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

Anwar berkata pegawai daerah dan pegawai jajahan di Kelantan akan berhimpun di Sungai Petani pada Sabtu ini (17 Jun) supaya kuasa pelaksanaan itu dapat dipindahkan segera kepada pejabat daerah.

Beliau dalam pada itu mengingatkan walaupun projek-projek kecil perlu dipercepatkan prosesnya, jangan berlaku penipuan, pencurian wang dan pengambilan komisen.

"Yang kita keras (tegas) sekarang ini tentang penyelewengan," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata prinsip perbincangan atau musyawarah perlu ada dalam kalangan penjawat awam supaya warga kerja kementerian tanpa mengira pangkat diberi ruang dan peluang untuk menyampaikan keterangan maklumat serta input dalam mesyuarat-mesyuarat termasuk pasca-Mesyuarat Kabinet.

"Ini kerana saya dapat maklumat bahawa kadang-kadang tak sampai pengarahan atau dasar dan tidak diberi ruang untuk memberi input dari peringkat bawah. Saya harap ini diperbetulkan," katanya.

Bermula dengan Kementerian Kewangan (MOF), Anwar mahu semua jabatan dan agensi memberi minit mesyuarat kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Johan Mahmood Merican dan seterusnya disampaikan kepada beliau bagi memastikan input yang baik daripada semua warga kerja terlibat.

"Ini maknanya saya nak pastikan MOF sebagai contoh cemerlang bukan sahaja kerja tetapi kita pastikan ada input yang baik, rundingan yang baik dan tidak hanya pengarahan daripada menteri ke bawah, KSP ke bawah, atau ketua jabatan ke bawah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 10:47 AM