KAPAL LCS di tapak pembinaan Boustead Naval Shipyard Lumut, Perak (gambar fail, sekadar hiasan). FOTO NSTP
KAPAL LCS di tapak pembinaan Boustead Naval Shipyard Lumut, Perak (gambar fail, sekadar hiasan). FOTO NSTP
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), hari ini memantau status pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) menerusi lawatan di Limbungan Boustead Naval Shipyard, Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan hari ini, berkata PAC mengambil masa kira-kira dua jam untuk melihat sendiri status pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua itu, bermula pada jam 10 pagi, tadi.

Menurut beliau, prosiding PAC berkaitan status pembinaan LCS turut diadakan dengan memanggil tiga saksi bagi memberi keterangan dan penjelasan berhubung status pembinaan kapal berkenaan.

"Prosiding PAC dimulakan pada jam 2.30 petang, memfokuskan laporan kemajuan projek LCS yang perlu dibentangkan Kementerian Pertahanan setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek LCS disempurnakan selaras dengan syor PAC Parlimen ke-14 sebelum ini.

"Antara saksi yang dipanggil memberi keterangan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Shahrazat Ahmad.

"Turut dipanggil, Ketua Lembaga Pengarah Boustead Naval Shipyard (BNS), Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Azhar Jummat. Prosiding berakhir pada jam 6 petang," katanya.

Tambahnya, PAC komited untuk membentangkan Laporan Kemajuan Projek LCS, yang akan menyentuh kemajuan pembinaan LCS yang dicapai dari Oktober 2022 sehingga Mei lalu untuk dibahaskan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen ke-15 2023.

Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen ke-15 2023 akan diadakan bermula 9 Oktober sehingga 30 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 10:19 PM