Kapal LCS yang masih di dalam pembinaan ketika lawatan media ke tapak pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) di Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak. Foto ARKIB NSTP
Kapal LCS yang masih di dalam pembinaan ketika lawatan media ke tapak pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) di Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak. Foto ARKIB NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membuat sembilan rumusan mengenai Laporan Kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua Littoral Combat Ship (LCS) di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.

PAC menerusi satu kenyataan media berkata, antaranya adalah tiada kemajuan bagi pembinaan LCS sejak daripada lawatan PAC Parlimen ke-14 pada 11 Disember 2021 hingga lawatan PAC Parlimen ke-15 pada 10 Jun 2023.

Katanya, melalui pelan mobilisasi yang terkandung dalam supplemental agreement (SA) 5 yang ditandatangani pada 31 Mei 2022, Mindef merancang dengan lebih teliti selepas kegagalan menepati jadual asal pembinaan LCS di mana keenam-enam kapal sepatutnya siap pada tahun 2023.

"Isu utama detailed design (reka bentuk terperinci) LCS masih belum diselesaikan yang mana kini berada pada kadar 96 peratus kesiapan di peringkat kontraktor pembinaan dengan hanya 84 peratus sahaja telah melalui peringkat pengesahan, verifikasi dan kelulusan oleh Naval Group daripada Perancis sebagai penguasa reka bentuk LCS.

"Bagaimanapun kontraktor pembinaan memberi jaminan bahawa ia akan disiapkan sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam SA 6," katanya.

PAC berkata, keputusan kerajaan mengambil alih Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui penubuhan Ocean Sunshine Bhd (SPV) dapat membantu mengembalikan kepercayaan pemegang saham, pihak bank dan pihak pembekal dalam pelaksanaan projek pembinaan LCS.

"Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan bilangan LCS daripada enam ke lima berikutan pembinaan blok LCS 6 masih belum dimulakan dan peralatan yang dibeli boleh digunakan pada LCS yang lain.

"Walaupun bilangan LCS dikurangkan kepada lima, kos pembinaan LCS meningkat daripada RM9.128 bilion kepada RM11.22 bilion dengan pertambahan sebanyak RM2.098 bilion berpunca daripada kos bagi reka bentuk (RM0.211 bilion), harga peralatan (RM1.214 bilion), insurans dan risiko (RM0.466 bilion), kos kewangan (RM0.143 bilion), kos pengurusan projek (RM0.066 bilion).

"Kelewatan dan pertambahan masa juga menjadi faktor utama peningkatan ini berlaku," katanya.

Dalam rumusannya juga, PAC berpandangan, tempoh masa pembinaan LCS dilanjutkan lagi kepada 83 bulan dan dijangka Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hanya dapat memperoleh kelima-limanya pada tahun 2029.

"(Ia) berbanding kontrak asal di mana LCS 5 sepatutnya diserahkan pada tahun 2022.

"Perjanjian SA 6 yang ditandatangani pada 26 Mei 2023 tidak mendapat persetujuan AGC (Jabatan Peguam Negara) memandangkan jabatan berkenaan menjelaskan pihaknya telah memaklumkan kepada Mindef bahawa perlu ada tindakan lanjut bagi SA 6 dan dikemukakan kembali kepada AGC sebelum ia ditandatangani

"Keputusan Mindef membelakangkan AGC dalam menandatangani SA 6 ialah satu tindakan yang tidak wajar dilakukan kerana ia boleh memberikan implikasi perundangan kepada kerajaan dan ia tidak boleh berulang," katanya.

Sebagai langkah penambahbaikan, PAC mengsyorkan enam perkara kepada kerajaan untuk dilaksanakan antaranya adalah Mindef perlu memastikan pelaksanaan pelan mobilisasi mengikut syarat yang ditetapkan dengan kapal pertama LCS disiapkan pada Mei 2024 dan diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026.

Katanya, Mindef perlu memastikan kontraktor pembinaan menyiapkan reka bentuk terperinci sepenuhnya termasuk mendapat kelulusan daripada Naval Group sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam SA 6.

"Kerajaan hendaklah memastikan pengambilalihan BNS oleh Ocean Sunshine Bhd mencapai matlamat asal pelaksanaannya.

"Mindef dan TLDM bertanggungjawab dalam memastikan keseluruhan projek pembinaan lima LCS bernilai RM11.22 bilion disiapkan serta diserahkan kepada TLDM mengikut tempoh dan kos yang dipersetujui dalam SA 6," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 2:31 PM