Replika LCS.
Replika LCS.
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Pembayaran RM6 bilion daripada nilai keseluruhan kontrak Kapal Tempur Pesisir (LCS) dibuat bagi menampung perbelanjaan pembelian hampir semua peralatan diperlukan bagi pembinaan enam kapal itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata, nilai keseluruhan kontrak projek LCS adalah RM9 bilion dengan kemajuan pembinaan lima kapal ketika ini adalah 55 peratus.

Katanya, pembelian peralatan secara pukal adalah lebih murah berbanding jika dibeli secara berasingan, selain menjelaskan sebahagian besar perbelanjaan adalah untuk membina bentuk asas LCS yang membabitkan reka bentuk asas dan terperinci dihasilkan Naval Group Perancis.

"RM9 bilion untuk enam kapal di bawah kontrak asal bermakna harga satu kapal lebih kurang RM1.5 bilion. Egypt (Mesir) membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk satu kapal LCS mereka yang dibuat di Perancis. UAE juga belanja hampir RM1.9 bilion (untuk) satu LCS. Amerika Syarikat bina LCS mereka pada harga RM2.4 bilion sebiji sebab lebih canggih.

"Selepas kegagalan projek penswastaan pembinaan kapal Navy yang diberi kepada syarikat PSC suatu ketika dulu, Boustead terpaksa mengambil alih syarikat ini demi menyelamatkan kerugian di seluruh rantaian kewangan dan ekonomi.

"Pengambilalihan ini termasuk hutang bank amat besar yang kini terpaksa ditanggung Boustead Holdings dan Boustead Naval Shipyard. Maka sebahagian daripada wang LCS terpaksa diguna untuk bayar hutang lapuk syarikat PSC ini. Maklumat ini ada dalam laporan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira)," katanya dalam hantaran dimuat naik di Facebook malam tadi.

Ahmad Nazim yang terbabit secara langsung bagi menggubal pelan pemulihan LCS bersama Kementerian Pertahanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut mengesahkan pembinaan fizikal kapal LCS sedang dibuat di Lumut Shipyard di pengkalan TLDM.

"Saya sudah berkali-kali turun ke Lumut Shipyard yang terletak di pengkalan TLDM dan melawat projek LCS. Saya boleh sahkan pembinaan fizikal kapal memang sedang berlangsung. Kalau naik bot ke Pangkor pun boleh nampak 'hull' (badan) kapal ini yang sebahagian besarnya sudah dibina.

"Projek ini terhenti pada 2019 atas pelbagai sebab tetapi Kabinet pada April lalu, memutuskan untuk menyambung semula pembinaannya berdasarkan opsyen paling murah.

"Keputusan dibuat dengan mengambil kira tiga opsyen, termasuk pelan penstrukturan semula BNS diteliti kerajaan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Kabinet yang mengambil masa selama lapan bulan," katanya.

Menurutnya, projek LCS telah membuka peluang pekerjaan teknikal dan kejuruteraan kepada hampir 3,000 jurutera dan lebih 400 vendor tempatan pelbagai bidang, dengan nilai projek lebih RM4 bilion.

"Ada ribuan lagi pekerjaan di syarikat vendor ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 12:06 AM