Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang membongkarkan kegiatan penyimpanan minuman keras tidak bercukai selepas menyerbu sebuah rumah di Georgetown, dekat sini, pada 29 Mei lalu.

Dalam serbuan kira-kira 5 petang, sepasukan anggota Unit Marin JKDM menemui sejumlah 4,008 botol minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM423,367.50 dalam kediaman berkenaan.

Pengarah Kastam negeri, Hamisan Kalip berkata, kesemua minuman keras itu dipercayai tidak berkastam dengan cukai dianggarkan berjumlah RM694,211.37.

"Siasatan awal mendapati rumah itu dijadikan sebagai tempat penyimpanan minuman keras terbabit sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

"Dua suspek terdiri daripada penjaga stor dan penyewa berusia 40-an dan 70-an ditahan untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan negeri, di sini, hari ini.

Hamisan berkata, sindiket menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan minuman keras yang disyaki tidak berkastam di tempat yang tidak dibenarkan bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Ini berikutan minuman keras yang ditemui dalam serbuan ini disyaki belum dibayar cukai dan tiada pengikraran yang sah," katanya.

Sementara itu, Hamisan berkata, seorang pelancong warga China dikompaun selepas membawa masuk 12.08 kilogram (kg) kepingan kayu gaharu dipercayai tidak berkastam membabitkan nilai RM33,930 dan cukai berjumlah RM1,696.50.

Menurutnya, lelaki terbabit ditahan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas apabila menemui barangan berkenaan pada 10.05 malam, 8 Mei lalu.

"Siasatan mendapati pelancong berusia 30-an itu membawa masuk kepingan kayu berkenaan dari negara jiran bagi tujuan ibadat. Dia dikenakan kompaun serta diarahkan membayar cukai manakala dagangan itu dirampas dan dilucuthak untuk pelupusan," katanya.

Kes minuman keras disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 manakala kes membabitkan kayu gaharu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 3:24 PM