Azizah (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan minuman keras tanpa cukai yang dirampas dalam serbuan di sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor. FOTO Amran Hamid
Azizah (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan minuman keras tanpa cukai yang dirampas dalam serbuan di sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dianggarkan bernilai RM654,869 termasuk cukai di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor, Rabu lalu.

Serbuan dilakukan pada jam 12 tengah hari oleh Cawangan Penguatkuasaan JKDM Alor Setar dan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM.

Pengarah JKDM Kedah, Azizah Kechik berkata, pihaknya melakukan pemantauan ke atas kontena dari India terbabit selama dua minggu sejurus menerima maklumat.

"Pemeriksaan ke atas kontena itu menemui minuman keras yang tidak berkastam sebanyak 717 karton atau berjumlah 1,224 botol yang bersamaan 6,022 liter.

"Kesemua minuman keras dirampas dianggarkan bernilai RM248,976 dan anggaran cukai sebanyak RM405,839," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Alor Setar, di sini, hari ini.

Azizah berkata, pihaknya masih mengesan suspek yang terbabit dalam kegiatan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, siasatan awal pihaknya percaya arak berkenaan akan dijual untuk pasaran tempatan sempena musim perayaan akan datang.

Sementara itu, dalam Ops Cantas bermula 10 November hingga 24 November lalu, JKDM Kedah turut berjaya merampas pelbagai jenis barang belum lulus kastam.

"Barang yang dirampas adalah 12 kes membabitkan rampasan minuman keras bernilai RM42,347 termasuk cukai, enam kes rampasan rokok bernilai RM60,461 termasuk cukai dan dua rampasan kereta bernilai RM375,760 termasuk cukai.

"Seramai 16 orang disyaki turut ditahan bagi membantu siasatan ke atas 20 kes berkenaan dan mereka dijangka didakwa dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 4:27 PM