DADAH - Gambar hiasan
DADAH - Gambar hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) mematahkan cubaan seludup masuk dan keluar pelbagai jenis dadah seberat 14.6 kilogram (kg) bernilai lebih RM1 juta.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah Wong Pun Sian berkata, kesemua dadah itu dirampas menerusi tiga kes yang dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara 11 April hingga 14 Mei lalu.

"Bagi kes pertama, kami mematahkan cubaan menyeludup keluar Methamphetamine melalui kargo udara, jam 1 pagi pada 14 Mei lalu.

"Satu pakej yang beralamat di Johor disita di hub syarikat penghantaran ekspres di Kargo KLIA.

"Pemeriksaan menemukan 13 bungkusan Methamphetamine seberat 1.07kg dianggarkan bernilai RM35,178 yang disorokkan di dalam gam silikon," katanya pada kenyataan, hari ini.

Pun Sian berkata, siasatan awal mendapati, pakej itu akan dieksport ke Australia dengan maklumat pengirim disyaki dipalsukan bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Taktik sindiket ini adalah dengan menyembunyikan dadah di dalam gam silikon sebelum dimasukkan ke dalam kotak kasut bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Dalam kes kedua, pihaknya mematahkan cubaan menyeludup keluar heroin melalui pemeriksaan ke atas pakej di premis Pos Malaysia International Hub (PMIH) Kargo KLIA jam 12.30 tengah hari, 28 April lalu.

"Pemeriksaan menemukan sembilan paket pembungkus aluminium foil yang mengandungi heroin seberat 4.63kg dianggarkan bernilai RM435,220 yang diletak di dalam tin minuman.

"Dagangan itu dari Johor yang diikrarkan sebagai 'Avocado Multigrain' dan akan dieksport ke Australia," katanya.

Menurut beliau, taktik sindiket dalam kes itu adalah menggunakan maklumat pengeksport palsu, juga bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagi kes ketiga pula, pihaknya menyita satu pakej antarabangsa dari Pakistan yang mengandungi ketamin di premis PMIH Kargo KLIA, pada jam 11.30 pagi, 11 April lalu.

Menurutnya, pemeriksaan pada pakej berkenaan menemukan sembilan plastik mengandungi ketamin seberat 8.894kg dianggarkan bernilai RM533,640.

"Siasatan awal mendapati, pakej itu dikirim ke alamat palsu. Taktik digunakan pula ialah dengan menyembunyikan dadah di dalam paket aluminium foil bagi mengaburi imej pada mesin pengimbas.

"Sindiket juga menggunakan perkhidmatan kurier bagi tujuan penghantaran," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih mengesan suspek yang terbabit dalam tiga kes terbabit.

"Ketiga-tiga kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Sepanjang Januari hingga April lalu, kami menumpaskan cubaan menyeludup pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM4.9 juta membabitkan 37 kes melalui perkhidmatan kurier dan kargo udara," katanya.

Orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas to 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.

"JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 2:39 PM