Muhamad Lokman Khairi


Bagan Datuk: Kerajaan akan mempersembahkan cadangan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah untuk memohon perkenan baginda agar mengurniakan nama Sultan Perak sebagai nama rasmi kepada Jambatan Bagan Datuk-Sejagop.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan mempersembahkan cadangan tarikh bagi upacara perasmian itu sempena hari keputeraan baginda tahun ini.

"Sebentar tadi adalah pelancaran penggunaan jambatan itu tetapi perasmiannya akan dipersembahkan kepada Tuanku bagi baginda mencemar duli bagi perasmiannya.

"Saya ingin cadangkan nama jambatan ini sebagai Jambatan Sultan Nazrin Shah dan mohon agar Tuanku perkenan agar tarikh perasmiannya sempena hari keputeraan Paduka Seri Tuanku tahun ini," katanya pada ketika sidang media sempena majlis pelancaran laluan baru bas henti-henti Mara Liner Sdn Bhd (MLSB) di Dewan Masjid Tuminah Hamidi di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Jambatan sepanjang 1.54 kilometer (km) merentasi Sungai Perak itu menghubungkan Bagan Datuk dengan Perak Tengah yang bakal memberi manfaat 70,300 penduduk.

Projek menelan belanja RM406 juta itu turut membabitkan pembinaan jalan raya dari Pekan Jalan Datuk sejauh 8.2 km bagi mengatasi masalah tanah gambut di sebelah Bagan Datuk.

Mengulas mengenai pembukaan laluan baharu bas henti-henti itu, Ahmad Zahid berkata, kemudaham pengangkutan itu menghubungkan Bagan Datuk ke Teluk Intan dan laluan Bagan Datuk ke Kampung Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 12:38 PM