SALAHUDDIN Ayub meninjau bekalan meninjau bekalan gula putih  pada pelancaran SHMMP Pesta Kaamatan, di Pasaraya Bataras, Kolombong, Kota Kinabalu. FOTO Izwan Abdullah
SALAHUDDIN Ayub meninjau bekalan meninjau bekalan gula putih pada pelancaran SHMMP Pesta Kaamatan, di Pasaraya Bataras, Kolombong, Kota Kinabalu. FOTO Izwan Abdullah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan sekurang-kurangnya 42,000 tan metrik gula yang dikawal harga oleh kerajaan ada di pasaran seluruh negara setiap bulan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata bekalan gula untuk tempoh sebulan tidak boleh kurang daripada jumlah berkenaan sebagai syarat kepada pengeluar menjual gula bertapis jernih yang tidak dikawal harga.

Beliau berkata, harga gula rakyat pada RM2.85 sekilogram bagi yang kasar dan RM2.95 sekilogram bagi gula halus berdasarkan kawalan harga yang dikuatkuasakan kerajaan.

Katanya, desas-desus berlaku kenaikan harga gula rakyat atau gula yang dikawal harga adalah tidak benar, sebaliknya ia dikaitkan dengan gula bertapis jernih yang tidak dikawal harga bagi keperluan industri yang dijelaskan pihaknya dua hari lalu.

"Mungkin juga gula itu (yang tidak dikawal) boleh dieksport dan dijual dengan harga pasaran di luar. Tapi, kita akan memastikan gula putih kasar dan halus yang dijual pada harga RM2.85 bagi kasar dan RM2.95 bagi yang halus itu mesti ada di pasaran.

"Bekalan gula (dikawal harga) untuk seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak sebanyak 42,000 tan metrik sebulan mesti ada di pasaran," katanya pada sidang media selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan, di Pasaraya Bataras, Kolombong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Ops Manis yang dilancarkan KPDN sebelum ini akan memastikan bekalan gula rakyat sama ada jenis yang kasar atau halus ada di pasaran seluruh negara sepanjang masa.

"Itu adalah syarat kepada industri untuk mengeluarkan gred gula bertapis jernih yang tidak kita kawal (harga). Saya juga sudah memberi arahan kepada pihak penguatkuasa untuk pantau setiap hari dalam tempoh sebulan ini.

"Kita akan pantau semua tempat, semua daerah, bandar, termasuk di pedalaman, Semenajung, Sabah dan Sarawak supaya gula rakyat atau gula biasa putih itu mesti ada di pasaran.

"Itu syarat yang kita tetapkan kepada industri dan beri keizinan untuk mereka mengeluarkan gula putih bertapis jernih yang mereka boleh jual tanpa harga kawalan," katanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata kerajaan amat serius menangani isu penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam paket satu kilogram bagi memastikan ia sampai kepada rakyat.

Katanya, tindakan tegas akan diambil KPDN terhadap mana-mana pihak yang dikesan melakukan penyelewengan semua barangan bersubsidi termasuk minyak masak dalam paket.

Mengenai bekalan minyak masak bersubsidi yang sukar diperoleh, beliau berkata rakyat perlu melaporkan segera kepada KPDN berhubung masalah itu supaya tindakan menghantar bekalan di kawasan yang terbabit dapat dilakukan.

"Dari segi keberadaan, kita pastikan bekalan itu ada. Penguatkuasa boleh semak di mana pemborong, peruncit atau di daerah mana, tapi kalau ada kekurangan laporkan untuk tindakan segera. Itu janji kita kepada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 2:37 PM