Aminurrahim Mohamed, ketika Majlis Penyampaian Watikah dan Penganugerahan Reben Perkhidmatan dan Kecemerlangan APM, di Auditorium Utama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Aminurrahim Mohamed, ketika Majlis Penyampaian Watikah dan Penganugerahan Reben Perkhidmatan dan Kecemerlangan APM, di Auditorium Utama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang mengkaji penggunaan 'armband' atau gelang lengan kepada semua anggota termasuk sukarelawan.

Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed berkata, pemakaian armband itu bagi memudahkan orang awam mengenal pasti kepakaran setiap anggota ketika di lapangan.

Menurutnya, setiap anggota mempunyai kemahiran dan kepakaran yang berbeza selain pangkat.

"Ada pro dan con bagi penggunaan armband itu kerana akan ada perbandingan seperti juga pangkat ada yang kehormat, bersekutu dan tetap ada bezanya.

"APM ada 21 fungsi yang termaktub dalam Akta 221 dan mempunyai 12 kluster.

"Kita kena perhalusi setiap fungsi itu supaya tidak bertindih. Jadi ia akan ambil masa untuk kajian sebelum dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis Penyampaian Watikah dan Penganugerahan Reben Perkhidmatan serta Kecemerlangan APM di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 208 anggota termasuk orang awam menerima watikah dan reben atas jasa serta pengorbanan mereka sepanjang perkhidmatan.

Aminurrahim berkata, penganugerahan itu akan meningkatkan keyakinan, semangat dan motivasi anggotanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 2:51 PM