Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Kerajaan bakal mengumumkan berita gembira buat warga Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhasrat menambah penjawatan tetap di bawah APM itu bagi memperkasakan lagi peranan mereka.

Menurutnya, APM berperanan penting sebagai barisan pertahanan kedua di belakang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya meminta penjawatan tetap diwujudkan dalam APM dan sudah membuat permohonan itu secara rasmi.

"Kita ketahui yang keputusannya sangat positif dan akan ada pengumuman dalam masa terdekat," katanya pada Pelancaran Bulan Pertahanan Awam sempena Hari Pertahanan Awam Sedunia serta Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke 72, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, selepas lebih tujuh dekad ditubuhkan APM kini bukan hanya berkhidmat dalam negara malah menempa nama di persada antarabangsa sebagai agensi menyelamat berkebolehan ketika bencana.

Susulan itu, katanya, APM akan mewujudkan sekretariat bencana di setiap negeri dan daerah sebagai salah satu agensi barisan hadapan bagi menangani apa sahaja bencana.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid meminta pasukan sukarelawan APM yang terdiri daripada petugas media ditubuhkan dalam masa 60 hari.

"Harus ditubuhkan (pasukan) APM fokus media. Membabitkan mereka dalam usaha kemanusiaan dan liputan media lebih prominan.

"Kita jangan lupakan media, media adalah estet keempat. Media membantu kita mewujudkan kesedaran dalam masyarakat," katanya.

Sementara itu, individu dikesan salahguna jawatan kehormat Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan dikenakan tindakan tegas.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya ada mengesan kes terpencil cubaan menyalahgunakan jawatan kehormat.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas berhubung isu itu dan mengganggap masalah itu dalam keadaan terkawal.

"Buat masa ini saya tidak lihat ia masalah kritikal. Kita beri peringatan tegas dan teguran dan mereka sendiri berundur selepas ditegur.

"Kita memang beri perhatian isu ini bukan hanya salaj guna kuasa malah salah guna uniform pun boleh diambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan berhubung risiko penyalahgunaan jawatan kehormat dalam APM sekiranya jawatan itu dibuka dengan lebih meluas termasuk kepada petugas media.

Aminurrahim berkata, setiap individu menjawat jawatan kehormat perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengisi buku log.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 6:00 PM
Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berucap ketika Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Pertahanan Awam Sempena Hari Pertahanan Awam Sedunia Tahun 2024 di Dataran Tun Perak, Ibu Pejabat Pertahanan Awam Malaysia, Kajang. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berucap ketika Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Pertahanan Awam Sempena Hari Pertahanan Awam Sedunia Tahun 2024 di Dataran Tun Perak, Ibu Pejabat Pertahanan Awam Malaysia, Kajang. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI