Aminurrahim Mohamed (tengah) bergambar kenangan bersama penerima sijil. FOTO BERNAMA
Aminurrahim Mohamed (tengah) bergambar kenangan bersama penerima sijil. FOTO BERNAMA
Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melatih 350,474 orang awam sepanjang tahun ini dengan memberi pendedahan dan pengetahuan risiko bencana termasuk persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di seluruh negara.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, ia sebagai persediaan awal dalam usaha pengurangan risiko bencana merangkumi elemen latihan dan pelan mitigasi.

Menurutnya, latihan itu juga membabitkan ceramah keselamatan kepada penduduk berisiko, program keselamatan kepada sekolah rendah dan menengah serta pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

"Latihan yang kita lakukan menyentuh aspek keselamatan ketika bencana dan latihan ini juga sudah bermula sejak 2020 yang mana setiap tahun mensasarkan 330,000 orang awam.

"Justeru, untuk tahun ini kita sudah mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu seramai 350,474 orang awam kita beri latihan dan pendedahan berkaitan bencana terutama menghadapi MTL di seluruh negara.

"Jadi, dengan adanya latihan dan pendedahan seperti ini, kita harap mereka boleh respon lebih awal sementara menunggu pasukan penyelamat atau APM sendiri tiba," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penganugerahan kepada 83 penerima Watikah Pegawai Bersekutu, Pingat, Riben Perkhidmatan serta Sijil APM Negeri Terengganu Tahun 2023 di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Aminurrahim berkata, pihaknya juga mengenal pasti sebanyak 5,648 kawasan 'hotspot' banjir di seluruh negara.

Menurutnya, pihaknya mendapati Sarawak paling banyak 'hotspot' banjir membabitkan 1,066 lokasi diikuti Sabah (798), Pahang (750), Johor (745) dan Kelantan (617).

"Kita mengingatkan penduduk sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan beri kerjasama dan patuh arahan pihak berkuasa sekiranya perlu berpindah ke kawasan lebih selamat atau ke pusat pemindahan sementara (PPS) demi keselamatan," katanya.

Sementara itu, Aminurrahim berkata, pihaknya pihaknya juga memberi pendedahan kepada kumpulan pemimpin komuniti supaya sentiasa proaktif mengurangkan risiko bencana dan bersiap siaga disamping menerapkan nilai berdaya tahan menghadapi bencana.

"Setiap ketua isi rumah juga dinasihatkan menyediakan 'Ready To Go Bag' yang didalamnya diisi keperluan seperti dokumen-dokumen penting, pakaian kecemasan, ubat-ubatan, lampu suluh dan keperluan lain yang dirasakan bagi tujuan kecemasan.

"Jadi, apabila berlakunya banjir yang mana mereka perlu berpindah hanya perlu membawa beg terbabit dan kita percaya segala dokumen akan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 10:38 AM