AMIRUDIN  (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Pengerusi Worldwide Holdings, Datuk Nor  Azmie Diron (dua dari kiri) dengan Wu di  Hotel Concorde Shah Alam, semalam.
AMIRUDIN (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Pengerusi Worldwide Holdings, Datuk Nor Azmie Diron (dua dari kiri) dengan Wu di Hotel Concorde Shah Alam, semalam.
Nurhayati Abllah dan Farah Adilla


SHAH ALAM: Worldwide Holdings Bhd (Worldwide Holdings) peneraju utama perkhidmatan pengurusan alam sekitar akan membangunkan kemudahan Waste-To-Energy (WTE) bernilai RM1 bilion di kawasan seluas enam hektar di Jeram, Selangor.

Pembangunan sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal menyeluruh menggunakan teknologi WTE adalah sebahagian daripada Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) yang pada masa sama bakal menjadi kemudahan WTE terbesar dan paling moden di Malaysia.

Projek itu juga dijangka mengurangkan penggunaan tanah bagi tapak pelupusan selain menyokong aspirasi kerajaan meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui sehingga 20 peratus menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, WTE adalah teknologi pengurusan sisa pepejal yang boleh mengubah sisa menjadi tenaga dalam bentuk tenaga elektrik.

“Janakuasa WTE yang dibangunkan Worldwide Holdings menangani semua aspek isu alam sekitar melalui teknik rawatan moden dan berteknologi tinggi dalam mematuhi piawaian EU.

“Teknologi yang kami guna pakai mempunyai rekod cemerlang menggunakan ciri sisa pepejal yang sama di Malaysia. Sisa pepejal digunakan sebagai bahan bakar untuk memanaskan relau bagi menjana stim membolehkan turbin menghasilkan tenaga elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian pembangunan bersama antara Worldwide Holdings dan Western Power Clean Energy Sdn Bhd, iaitu syarikat usaha sama antara China Western Power Engineering & Construction Co Ltd dan China Western Power International bagi membina kemudahan itu, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari serta Pengarah Urusan dan Naib Presiden, China Western Power Engineering & Construction Wu Bin.

Bagi fasa pertama projek itu, ia membabitkan kos pembangunan berjumlah RM500 juta dan dibiayai Worldwide Holdings, manakala kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM40 juta bagi pengambilan tanah.

Norazlina berkata, fasa pertama loji WTE berkenaan akan siap untuk operasi komersial menjelang 2022, manakala fasa kedua disasarkan siap pada 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 6:30 AM