Zuraida meninjau Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling ketika mengadakan lawatan ke tapak itu hari ini. FOTO Nor Farhani Che Ad
Zuraida meninjau Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling ketika mengadakan lawatan ke tapak itu hari ini. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


TAPAK Pelupusan Sisa Pepejal Semeling, Sungai Petani bakal menjadi Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) pertama di Kedah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian akan membantu operator pengurusan iaitu Semula Resources Sdn Bhd membangunkan projek berkenaan.

“Ketika ini ada sedikit masalah pengurusan di tapak pelupusan sampah ini, yang mana ia tidak ada hala tuju jelas.

“Jadi di peringkat kerajaan persekutuan, kita mahu menukarkan tempat ini daripada tapak pelupusan sampah kepada WTE,” katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan ke tapak pelupusan itu di Sungai Petani hari ini.

Beliau berkata, operator akan mengeluarkan kertas cadangan dan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menentukan mekanisme dan juga modul perniagaan projek itu.

“Kita beri masa tiga bulan untuk mereka sediakan kertas cadangan dan menunjukkan teknologi yang mereka mahu gunakan.

“KPKT akan membantu dari segi pemilihan syarikat yang boleh menjalankan tugas ini dengan baik di samping kita juga memang ada pasukan teknikal yang akan mengkaji teknologi itu kerana kita nak pastikan ia adalah terbaik,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, WTE mampu memberi sumber pendapatan kepada negeri melalui pengasingan sampah kitar semula yang boleh dijual semula.

Zuraida berkata, ketika ini, tapak berkenaan menerima kira-kira 600 tan bahan buangan setiap hari dari kawasan membabitkan empat PBT iaitu Kuala Muda, Baling, Yan dan Sik.

Katanya, jika projek itu mampu menyediakan kecekapan dalam pelupusan bahan terbuang, lebih banyak sisa sampah boleh dilupuskan di lokasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 9:04 PM