Ahmad Hasbi


Seremban: Orang ramai seakan sudah lupa mengenai peraturan larangan merokok di kawasan awam terutama di premis makanan apabila makin berani melakukan perbuatan itu tanpa rasa gentar.

Perbuatan itu menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pelanggan lain terutama yang membawa keluarga dan anak kecil, namun rata-rata tidak berani menegur kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Malah tinjauan mendapati puntung dan kotak rokok bertaburan di lantai premis makanan membuktikan kegiatan itu berlaku agak kerap, namun apabila ditanya, kebanyakan pelanggan tidak mahu mengaku.

Di Negeri Sembilan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 121 aduan merokok di tempat awam melalui WhatsApp dari Januari hingga Mac 2023, manakala sebanyak 2,945 aduan diterima di seluruh negara dalam tempoh sama.

Daripada jumlah itu, sebanyak empat lokasi panas dikenalpasti menerima aduan berulang kali dan premis berkenaan digempur dalam Operasi Mega Bersepadu, semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata, dalam operasi bermula jam 2 petang itu, sebanyak 96 notis dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan peraturan larangan merokok.

"Sebanyak tujuh notis di kawasan hospital atau klinik, 29 di premis makanan, 13 notis di kenderaan atau pengangkutan awam, manakala 31 notis di kompleks beli-belah.

"Bakinya membabitkan kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok (2), gagal memastikan tiada orang merokok (3), tiada tanda larangan orang belum dewasa (2) dan orang belum dewasa merokok (9)," katanya ketika ditemui sejurus operasi tamat jam 11 malam.

Beliau berkata, melalui operasi berkenaan pihaknya mahu menyebarkan kesedaran dalam kalangan perokok bahawa peraturan larangan merokok masih lagi dilaksanakan.

"Hampir setiap hari anggota penguat kuasa kami menjalankan operasi mengesan perokok di kawasan larangan. Orang ramai juga boleh membuat aduan melalui talian WhatsApp 0108608949," katanya.

Mengulas mengenai pengguna rokok elektronik atau vape, beliau berkata, peranti berkenaan juga boleh membahayakan orang sekeliling berdasarkan kajian terkini yang dijalankan di peringkat antarabangsa.

"Pengguna rokok e-cigarette diseru untuk berhenti merokok mengikut kaedah rawatan yang diiktiraf KKM. Pendaftaran mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 12:26 PM
Pengunjung restoran menghisap rokok di kawasan larangan merokok pada operasi mega bersepadu aktiviti penguatkuasaan  larangan merokok di sekitar bandar Seremban. FOTO AZRUL EDHAM
Pengunjung restoran menghisap rokok di kawasan larangan merokok pada operasi mega bersepadu aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di sekitar bandar Seremban. FOTO AZRUL EDHAM