LARANGAN merokok bukan bertujuan menghukum golongan perokok, tetapi dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok serta golongan perokok pasif. FOTO Arkib NSTP
LARANGAN merokok bukan bertujuan menghukum golongan perokok, tetapi dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok serta golongan perokok pasif. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sebanyak 3,419 notis kesalahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada individu yang gagal mematuhi peraturan larangan merokok terutama di tempat makan sejak Januari hingga 24 Oktober lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, lima negeri dengan pengeluaran notis kesalahan paling tinggi adalah Terengganu (652 notis), Pahang (601 notis), Sarawak (365 notis), Perak (356 notis) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (303 notis).

"KKM mempergiatkan lagi aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan khususnya selepas peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kebenaran makan di tempat makan diberikan kerajaan.

"Semua tempat makan termasuk restoran berhawa dingin dan tempat makan terbuka diwartakan sebagai tempat dilarang merokok mengikut Peraturan 11(1)(d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 berkuatkuasa 1 Januari 2019 di seluruh negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas berhubung operasi terbaru, Khairy berkata, operasi mega dijalankan di Kuala Lumpur pada 23 Oktober lalu membabitkan 70 anggota daripada Bahagian Kawalan Penyakit, KKM dan Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berkata, 20 notis kesalahan mengikut Seksyen 32B dikeluarkan membabitkan 15 kesalahan merokok di tempat makan dan lima kesalahan dikenakan ke atas pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing.

"Selain itu, 41 notis kesalahan dikesan bagi kesalahan merokok di kompleks beli-belah.

"Aktiviti penguatkuasaan larangan merokok turut dijalankan Jabatan Kesihatan Johor pada 25 Oktober lalu dan 35 notis kesalahan dikeluarkan mengikut Seksyen 32B membabitkan 23 kesalahan merokok di tempat makan dan tiga kesalahan dikenakan kepada pemilik premis," katanya.

Beliau berkata, larangan merokok bukan bertujuan menghukum golongan perokok, tetapi dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok serta golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling.

Menurutnya, pelaksanaannya penting terutama ketika negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan KKM akan sentiasa membantu golongan perokok untuk berhenti merokok.

Katanya, pendaftaran ke perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 5:14 PM