FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Suliati Asri dan Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Usaha dan komitmen berterusan dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan kualiti, ekuiti dan akses pendidikan berada pada tahap terbaik harus dipuji walaupun negara berdepan pandemik Covid-19.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan berkata, sepanjang setahun pandemik itu menular bermula Mac tahun lalu, murid dan pelajar sekolah golongan paling terkesan apabila tidak dapat melakukan pembelajaran secara bersemuka.

"Bagaimanapun, KPM menerusi pelbagai insentif dan inisiatif dilaksanakan bagi memastikan semua murid tidak tercicir dalam arus pendidikan.

"Menerusi program TV Pendidikan (DidikTV) adalah satu inisiatif membantu murid yang menghadapi masalah capaian internet selain bantuan alat peranti untuk keluarga berpendapatan bawah 40 (B40)," katanya.

Menurutnya, peruntukan besar untuk meningkatkan infrastruktur sekolah daif dan luar bandar serta kemahiran pedagogi guru menggunakan aplikasi digital adalah bukti KPM cakna terhadap isu dan masalah warga pendidik.

"Selain itu, antara langkah KPM memastikan murid tidak tercicir dalam pembelajaran ialah menyediakan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan aspek keselamatan dan kesihatan guru serta murid terjamin seperti SOP manual pembukaan dan pengoperasian sekolah, manual pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), manual pelaksanaan peperiksaan dan sebagainya.

"Semuanya demi kelangsungan pendidikan generasi akan datang dan mengelak tiada murid tercicir daripada akses pendidikan negara," katanya.

Mohd Azizee berkata, guru di bawah KPM wajar dipuji berikutan begitu komited dan berdedikasi menyediakan bahan pengajaran, mencari kaedah pengajaran terbaik demi kesinambungan pendidikan.

"Sesungguhnya, KPM berusaha sehabis baik untuk memastikan sistem pendidikan negara berjalan dengan lancar meskipun berdepan kekangan Covid-19.

"Guru tetap diutamakan untuk mendapat suntikan vaksin kerana mereka adalah pasukan barisan hadapan yang penting untuk menjayakan agenda pendidikan negara.

"KPM berada di landasan yang tepat dan betul untuk mengemudi pendidikan demi menyelamatkan generasi daripada keciciran pendidikan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Prof Madya Dr Zuraidah Abdullah berkata, peringkat awal PKP, guru menghadapi kesukaran menyesuaikan peranan mereka memastikan murid belajar mengikut kehendak perubahan yang drastik ini.

Namun, menerusi inisiatif Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah, pendidik dapat menghadiri pelbagai latihan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian dan menggunakan teknologi ICT secara meluas bagi mereka bersedia mengajar dalam keadaan yang luar biasa ini.

"Dari pemerhatian saya, sepanjang setahun ini, guru dilihat kreatif menyediakan modul PdP dalam pelbagai cara.

"Antara modul PdP dilakukan sendiri guru termasuklah dalam bentuk rakaman video, memuat naik di pelantar pembelajaran 'google classroom', mengaplikasikan pembelajaran digital yang baharu iaitu akronim bagi Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) melalui saluran Youtube EduwebTV dan secara individu menjadi Youtuber," katanya.

Menurutnya, tindakan KPM membuka semula sekolah bermula 1 Mac lalu adalah bagi mengatasi masalah pembelajaran murid yang 'terkandas' dan memastikan kelangsungan pembelajaran mereka ditambahbaik serta diteruskan pada tahun ini dengan Penjajaran Kurikulum versi 2.0.

Dr Zuraidah berkata, dalam usaha menambahbaik sistem pendidikan dan persekolahan selepas setahun pandemik Covid-19 ini, terdapat beberapa perkara boleh diberi perhatian KPM bagi membina sistem pendidikan Malaysia lebih fleksibel, saksama dan berkesan.

Katanya, KPM perlu memberi keutamaan merapatkan jurang pencapaian (ekuiti) bagi menangani masalah keciciran murid disebabkan pelbagai faktor termasuk latar belakang sosio-ekonomi keluarga, tempat tinggal jauh di pedalaman selain memastikan kebajikan sosial, emosi murid, guru dan kakitangan sekolah.

"Kapasiti pengurusan risiko perlu diperkukuhkan di semua peringkat dengan mempercepatkan perubahan positif dalam pengajaran dan pembelajaran.

"Kita seharusnya merebut peluang mencari cara dan pendekatan baharu untuk menangani krisis pembelajaran dan membawa satu set penyelesaian yang mampan.

"Banyak tindakan akan dilaksanakan dengan skala inovasi yang dibuat dalam masa yang singkat dapat dilaksanakan untuk memastikan kesinambungan pembelajaran murid ini berlaku dengan berkesan," katanya.

Bagi memantapkan lagi pembelajaran dalam mengatasi terdapat keciciran terhadap murid, Dr Zuraidah berkata KPM perlu mengambil inisiatif menguruskan krisis pendidikan dengan pemantauan berterusan di peringkat pelajar, guru dan sekolah.

"Pemantauan ini perlu berdasarkan gabungan sistem data dan penilaian sedia ada.

"Maklumat pemantauan dan penilaian ini akan membantu pihak pengurusan memantau persekitaran pembelajaran muridnya dan menilai akauntabiliti sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 11:38 AM