FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yakin fenomena El-Nino atau cuaca kering yang dijangka berlaku Mei ini tidak akan menjejaskan aktiviti tanaman padi Musim Pertama (1/2023) di Kawasan Muda.

MADA dalam kenyataan hari ini berkata status keseluruhan takungan empangan di kawasan Muda berada pada tahap baik dan mencukupi bagi menampung keperluan aktiviti tanaman padi bagi musim pertama tahun ini.

"Sehingga hari ini, jumlah takungan Empangan Pedu adalah 71.89 peratus, Empangan Muda 55 peratus dan Empangan Ahning 97.47 peratus.

"Jumlah takungan ketiga-tiga empangan sebanyak 370,327 hektar adalah mampu untuk memenuhi keperluan sumber air pengairan musim ini," katanya.

Menurut kenyataan itu, setakat ini status kemajuan aktiviti penyediaan tanah tidak terjejas walaupun jumlah hujan di Kawasan Muda bagi tempoh Januari sehingga awal Mei merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 343 milimeter (mm) berbanding purata turunan hujan 20 tahun iaitu 439 mm.

Bagaimanapun katanya, MADA sentiasa peka dengan perubahan cuaca semasa dan berada dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku keadaan El Nino seperti ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"MADA akan sentiasa mengutamakan kepentingan aktiviti tanaman padi dan sentiasa memantau pelaksanaan kemajuan aktiviti di peringkat sawah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna mengikut fasa yang ditetapkan," katanya.

MADA dalam masa sama turut mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang fenomena El-Nino dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan dan pengoperasian pam bergerak untuk membekalkan air ke kawasan tanah tinggi dan tanah bermasalah.

"Pesawah juga dinasihatkan supaya mempercepatkan aktiviti dan mematuhi jadual penanaman padi yang telah dikeluarkan.

"Pesawah disyorkan untuk menjalankan putaran basah serta aktiviti penanaman mengikut fasa yang telah ditetapkan.

"Kerjasama peladang menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah adalah penting bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran," katanya.

MetMalaysia baru-baru ini menjangka fenomena El Nino akan melanda negara pada bulan ini hingga Julai dengan kebarangkalian 62 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 1:08 PM