GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang pekerja swasta menanggung kerugian hampir RM30,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tidak wujud dalam kejadian di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, kejadian dipercayai bermula selepas lelaki berusia 53 tahun itu ternampak satu iklan pelaburan di Facebook pada 22 April lalu.

Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan pelaburan berkenaan menghubungi nombor yang disediakan sebelum berurusan dengan seorang wanita yang kemudiannya meminta mangsa membuat pembayaran deposit.

"Mangsa membuat pembayaran pada hari yang sama sebelum dia diminta mengaktifkan akaun dan membuat pembayaran lagi ke akaun sama pada hari yang sama.

"Mangsa sekali lagi diminta meneruskan lagi pelaburan dengan membuat pembayaran pada 28 April lalu dan beberapa lagi pembayaran dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM26,877," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rahim berkata, mangsa yang merasa tertipu dengan pelaburan berkenaan membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 4:40 PM