Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pekerja swasta menanggung kerugian hampir RM30,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, kejadian dipercayai bermula selepas lelaki berusia 53 tahun itu ternampak satu iklan pelaburan di Facebook pada 22 April lalu.

Menurutnya, mangsa yang tertarik menghubungi nombor yang tertera sebelum berurusan dengan seorang wanita yang kemudiannya meminta lelaki itu membuat pembayaran deposit sebanyak RM2,246.

"Mangsa membuat pembayaran pada hari sama sebelum dia diminta mengaktifkan akaun bank dan membuat pembayaran sebanyak RM4,000 ke akaun yang sama pada hari yang sama.

"Mangsa sekali lagi diminta menambah pelaburan dengan membuat pembayaran sebanyak RM6,331 untuk bayaran cukai kepada pihak kastam pada 28 April lalu.

"Tanpa mengesyaki apa-apa mangsa membuat pembayaran seperti yang diminta dan beberapa lagi pembayaran dengan pelbagai alasan dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM26,877," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, mangsa yang rasa tertipu dengan pelaburan berkenaan membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan berwaspada dengan iklan-iklan pelaburan supaya tidak menjadi mangsa penipuan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 5:20 PM