Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang kontraktor berputih mata apabila keuntungan yang dijanjikan menerusi satu skim pelaburan yang disertainya pada 15 Oktober lalu, sebenarnya tidak wujud.

Sebaliknya, lelaki berusia 54 tahun itu kerugian RM303,084 selepas diperdaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, mangsa berkenalan dengan seorang wanita tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai Lilina Lim menerusi Facebook.

Katanya, wanita berkenaan menawarkan satu skim pelaburan dalam talian dan boleh mendatangkan keuntungan lumayan kepada mangsa.

"Terpedaya dengan pelawaan itu, mangsa mendaftar menerusi satu skim dalam talian seperti diminta Lilina Lim dan individu itu juga memberitahu mangsa supaya membuat bayaran lebih tinggi bagi memperoleh taraf VIP dan mendapat keuntungan lebih cepat.

"Mangsa kemudian membuat pindahan wang ke dalam tiga akaun atas tiga nama individu berbeza bermula 15 hingga 31 Oktober lalu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Aibee berkata, selepas transaksi dibuat, mangsa tidak mendapat keuntungan seperti yang dijanjikan.

Menurutnya, malah suspek kemudian menyamar sebagai pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram.

"Suspek menyatakan mangsa melakukan kesalahan seperti mencuci wang dan diminta membuat pembayaran sekiranya tidak mahu diambil tindakan.

"Mangsa juga diminta membuat pembayaran lagi sekiranya mahukan semula wangnya yang dipindahkan sebelum ini.

"Oleh sebab itu, mangsa terus mempercayai individu terbabit dan membuat beberapa kali perpindahan wang hingga mengalami kerugian lebih kurang RM303,084," katanya.

Aibee berkata, mangsa yang menyedari dirinya tertipu membuat laporan di Balai Polis Rahang di sini, semalam.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 1:15 PM