KEADAAN kereta yang remuk selepas kemalangan yang membabitkan enam kenderaan di Kilometer 12.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara.  FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta yang remuk selepas kemalangan yang membabitkan enam kenderaan di Kilometer 12.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


DUA maut termasuk seorang daripadanya tercampak ke dalam gaung sedalam 12 meter selepas kereta Honda CRV dinaiki dirempuh Perodua Myvi dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 12.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Johor Bahru, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner, Mohd Taib Ahmad berkata, kejadian 1.15 pagi itu mengakibatkan pemandu, G Thiyagarajan, 36, dan penumpang, S Kathiresan, 35, maut di tempat kejadian akibat parah.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu wanita berusia 27 tahun melanggar belakang kenderaan dipandu mangsa.

“Kemalangan itu mengakibatkan kereta dipandu mangsa dan Perodua Myvi terbabit berhenti di tengah jalan.

Bagaimanapun, kereta Honda City tidak sempat mengelak lalu merempuh Perodua Myvi terbabit.

“Sebuah kereta Volkswagen Jetta, Audi dan BMW 328i turut melanggar kenderaan yang terhenti akibat kemalangan itu,” katanya.

Beliau berkata, akibat daripada kemalangan itu pemandu dan penumpang kereta Honda CRV meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan semua kenderaan rosak dan remuk dan kenderaan di bawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Senai untuk pemeriksaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat II dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Ronney Robert berkata, sembilan anggota bersama bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat pada 1 pagi tadi.

“Setibanya di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan babitkan enam kenderaan.

“Seorang mangsa terhumban ke dalam gaung sedalam 12 meter sebelum dibawa naik anggota bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 1:15 PM