Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan menerima atau menyimpan harta curi iaitu wang tunai milik suaminya berjumlah RM280,000 pada Januari lalu.

Tertuduh, MS Harsimran Kaur, 37, dari Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan itu.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan niat curang menyimpan wang tunai RM280,000 milik HS Harvinder Singh, 35, dengan mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah harta curi.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Stesen Minyak Shell, Jalan Semabok, dalam Daerah Melaka Tengah pada 8 Januari lalu, jam 12.01 tengah malam.

Dia dituduh melakukan kesalahan Seksyen 411 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Harsimran Kaur (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Harsimran Kaur (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar manakala tertuduh yang juga penganggur diwakili tiga peguam bela, Mahajoth Singh, GS Gabriel dan Navin Punj.

Wardah menawarkan jaminan RM30,000 bagaimanapun Mahajoth merayu ia dikurangkan memandangkan anak guamnya memberi kerjasama penuh kepada polis.

"Tertuduh kini tidak bekerja dan tinggal bersama ibunya seorang suri rumah serta dalam proses perceraian dengan suaminya yang juga pengadu kes.

"Sejak dari mula anak guam saya memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan dan hari ini apabila diminta hadir ke mahkamah, dia hadir sendiri bagi melawan pertuduhan terhadapnya," katanya.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM5,000 serta menetapkan sebutan kes pada 12 Jun depan bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 5:27 PM